comscore
Tumpuan :
Nasional

AI bawa cabaran hebat dalam dunia kewartawanan

KUCHING: Kecerdasan buatan (AI) membawa cabaran hebat dalam evolusi dunia kewartawanan kerana ia menguji integriti laporan dihebahkan.

Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg berkata, penggunaan AI boleh mewujudkan sesuatu yang tiada, sekali gus sukar untuk menilai sama ada laporan dibuat menggunakan teknologi AI itu asli atau sebaliknya.

“Kepesatan teknologi dengan penggunaan AI ini satu evolusi hebat dalam bidang kewartawanan apabila ia dimanfaatkan oleh mereka yang pakar dengan penggunaannya.

“Dengan AI, orang yang sudah meninggal dunia pun boleh ‘dihidupkan semula’, menyebabkan kita tidak tahu dengan jelas sama ada apa yang dipaparkan itu asli atau tidak,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas perasmian Persidangan Media Sarawak (SMeC) 2024 sempena sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) di sini, hari ini.

Turut hadir, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil; Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak, Tan Sri Mohd Asfia Awang Nasar; Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Seri Julaihi Narawi serta Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat dan UKAS) Datuk Abdullah Saidol.

Selain Pengarang Kumpulan Berita dan Ehwal Semasa, Rangkaian Televisyen Media Prima (MPTN), Kamaruddin Mape dan Pengarang Urusan Kumpulan The New Straits Times Press Malaysia Berhad (NSTP), Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman.

Tan Sri Abang Johari berkata, wartawan yang bertanggungjawab harus mencari kaedah untuk mengelak penyebaran berita palsu susulan ledakan teknologi AI.

“Saya syorkan wartawan yang mempunyai rasa tanggungjawab kepada kemakmuran negara dan seluruh pihak berkepentingan, menggariskan kod etika bersesuaian dalam penggunaan AI.

“Dengan AI, percakapan saya boleh diterjemah ke bahasa Mandarin atau Inggeris dengan gerakan bibir saya akan menepati dengan apa yang disebut dan inilah cabaran kita dalam media masa kini,” katanya.

Tan Sri Abang Johari turut berterima kasih kepada Kerajaan Persekutuan khususnya Kementerian Komunikasi yang julung kali membawa sambutan HAWANA ke luar Semenanjung dan memilih Sarawak sebagai tuan rumah.

“Menerusi sambutan ini, kita dapat mengumpulkan wartawan daripada pelbagai organisasi untuk memikirkan hala tuju industri media berikutan transformasi yang begitu cepat berlaku ketika ini sehingga membawa cabaran dalam industri media,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini