Oleh Amira Suraini Che Mohamad
ARAU: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menunaikan solat Jumaat bersama-sama 250 jemaah Masjid Assobirin Gial, Mata Ayer, Perlis, hari ini.
Turut hadir, Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli yang diiringi barisan kerajaan negeri bersama barisan kepimpinan UMNO Negeri Kedah dan Perlis.
Khutbah bertajuk ‘Islam Mewajibkan Umatnya Membayar Hutang’, disampaikan Imam Muhammad Ameer Fathee Jamil.
Solat kemudiannya diimamkan Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Mohd Nazim Mohd Noor.
Usai solat Jumaat, Ahmad Zahid yang lengkap berbaju Melayu kelabu mengambil kesempatan bersalaman dan beramah mesra dengan jemaah.
Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO kemudiannya bergerak ke Majlis Jamuan Hari Raya Badan Perhubungan UMNO Negeri Perlis di Dewan Sivik, Arau.