Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Ahmad Zahid sedih lebih 300,000 penagih dadah berumur 15-29 tahun

 

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) diberi tempoh tiga bulan bagi mengusahakan koordinasi di antara beberapa agensi berkaitan dalam membanteras gejala dadah yang semakin membimbangkan di negara ini terutama membabitkan golongan belia.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata koordinasi itu bagi merangka, menyusun inisiatif atau program efektif dan bermanfaat agar masalah negatif itu dapat dibendung dengan lebih berkesan.

Beliau berkata perkara tersebut diputuskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Membanteras Gelaja Dadah (JKMD) Bilangan 1 Tahun 2023 yang dipengerusikannya di Putra Perdana di sini, hari ini.

Zahid Hamidi

Menerusi satu kenyataan, ujarnya, koordinasi berkenaan juga perlu mengusahakan pemulihan kepada penagih dadah sedia ada.

“Mesyuarat ini juga akan melihat ‘game-changer’ (perubahan) untuk isu itu dan diselaraskan dengan semua kementerian, agensi dan badan bukan kerajaan (NGO) berkaitan,” katanya.

Pada masa sama, Ahmad Zahid melahirkan rasa bimbang apabila anggaran jumlah penagih dadah keseluruhan meningkat kepada 1,097,408 orang.

Daripada jumlah tersebut, 1,051,712 orang adalah golongan lelaki dan baki 45,696 orang membabitkan golongan wanita.

“Lebih menyedihkan apabila daripada jumlah tersebut, 328,640 orang adalah berumur 15 hingga 29 tahun. Malah, dapatan satu kajian oleh pihak Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada tahun 2020 yang menunjukkan bahawa bagi setiap 100 orang belia di negara ini, enam orang mengaku pernah mengambil dadah, manakala empat orang mengaku masih aktif mengambil dadah pada tempoh kajian dijalankan,” katanya.

Selain itu, mesyuarat yang dihadiri Ketua Pengarah AADK, Sutekno Ahmad Belon turut bersetuju supaya pemerkasaan undang-undang diperkukuhkan bagi mencegah penyalahgunaan dadah di semua peringkat.

Keberkesanan tentang penguatkuasaan undang-undang di dalam negara juga akan diperhalusi bagi menangani penyalahgunaan dadah secara tuntas.

“Akhirnya, keberkesanaan atau kejayaan dikaji bukan terhadap jumlah yang dipulihkan, tetapi kepada jumlah tangkapan atau pengurangan jumlah penagih di dalam negara secara keseluruhannya,” kata Ahmad Zahid.

Loading...
Terkini