comscore
Tumpuan :
Nasional

Ahmad Zahid nyata komitmen perjuangkan isu UTAR

Pengerusi Barisan Nasional, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bersalaman dengan Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong selepas merasmikan Majlis Perhimpunan Agung Tahunan MCA ke-71.

Oleh: Syafiqah Damanhuri

KUALA LUMPUR: Sebarang isu dan permasalahan terkait dengan Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) akan menjadi komitmen dan akan diperjuangkan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, menyatakan tekad itu untuk mendukung institusi pendidikan berkenaan, yang juga merupakan institusi pengajian tinggi di bawah Yayasan UTAR.

Beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata, perkara tersebut boleh dibincangkan dan akan turut bersama-sama MCA dalam hal itu.

“Malah saya ingin memberitahu tentang permasalahan UTAR, tentang permasalahan Yayasan Pendidikan UTAR. Saya ingin memberitahu di Persidangan MCA ini bahawa kerajaan telah bersetuju untuk memberikan pengecualian cukai kepada Yayasan Pendidikan UTAR dan akan dilakukan sesuatu yang lebih baik selepas ini.

“Kalau ini yang diminta oleh Presiden MCA jangan risau abang akan bersama sama dengan MCA. Perkara ini boleh dibincangkan, saya fikir kalau peruntukan untuk UTAR ini mahu dikekalkan sepanjang masa dan selama-lamanya saya akan perjuangkan bersama-sama dengan MCA,”

Beliau berkata demikian ketika ucapan perasmian Majlis Perhimpunan Agung Tahunan MCA ke-71 di Wisma MCA di sini.

Tambahnya, parti komponen BN itu umpama adik beradik dan perkara berkenaan boleh diselesaikan melalui perbincangan.

“Sidang perwakilan, kita ini adik beradik. Dalam hal ini saya fikir bahawa sesuatu lebih baik akan kita lihat. Saya merasakan saya harap saya tidak salah, ada cahaya terang di hujung terowong untuk BN.

“Maka dengan ini saya nak beberapa isu yang timbul sebenarnya kita boleh adakan perbincangan. Malah saya hendak beritahu dengan perwakilan MCA bagaimana saya (berusaha) sediakan tempat untuk pelajar TVET di China.

“Malah saya mahu umumkan hari ini Presiden MCA atas nama Datuk Seri Wee Ka Siong menjadi delegasi rasmi bersama saya semasa di China dan beliau dilantik sebagai Penasihat Pelaburan Masyarakat Cina di Malaysia di bawah saya,” ujarnya.

Ahad lalu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pengecualian cukai ke atas UTAR sebanyak RM83 juta kerana institusi pengajian tinggi itu memerlukan masa untuk memisahkan antara cabang urusan syarikat perniagaan komersil dan pendidikannya.

Beliau yang mengesahkan keputusan kerajaan itu berkata, tindakan dibuat atas dasar pendidikan bagi anak rakyat miskin tanpa mengira kaum di negara ini kerana operasi Yayasan UTAR bukan berasaskan keuntungan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini