
KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, hari ini melancarkan Garis Panduan Kampus Inklusif Orang Kurang Upaya (OKU) Universiti Malaya (UM-inOKU) yang bakal menjadi rujukan utama universiti awam (UA) dalam menguruskan keperluan pelajar dan staf OKU.
Universiti Malaya (UM) dalam kenyataannya memaklumkan garis panduan itu merangkumi aspek tadbir urus, pengajaran dan pembelajaran, perkhidmatan sokongan serta aksesibiliti persekitaran kampus.
Menurut UM, inisiatif itu akan diperkukuh dan dibawa ke peringkat ASEAN bersempena Kepengerusian Malaysia dalam ASEAN tahun ini.
Kenyataan itu turut memetik ucapan Ahmad Zahid yang menegaskan bahawa UM adalah satu-satunya universiti yang mengambil langkah proaktif dalam memperjuangkan hak serta kebajikan mahasiswa dan staf OKU.
Sementara itu, Naib Canselor UM, Prof Datuk Seri Dr Noor Azuan Abu Osman menekankan bahawa kecemerlangan institusi bukan sekadar kejayaan akademik, tetapi juga keupayaan mencipta persekitaran inklusif yang menyokong semua lapisan warganya.
“Dengan semangat mahabbah (kasih sayang), UM berusaha memastikan setiap warga kampus, termasuk pelajar dan staf OKU, memiliki peluang sama untuk berkembang serta menyumbang kepada masyarakat,” katanya.
Garis panduan itu menjadi bukti komitmen UM dalam memastikan akses pendidikan lebih adil dan saksama, selain membangunkan ekosistem kampus yang mesra, terbuka dan inklusif.
Sehingga kini, UM menempatkan 98 pelajar dan 21 staf OKU, selain komuniti pelajar antarabangsa serta staf dari pelbagai latar belakang.
Garis panduan ini juga selari dengan teras keenam Malaysia MADANI, iaitu ihsan, yang menekankan nilai belas ihsan melalui pemberdayaan manusia.
Penekanan terhadap nilai ihsan ini turut sejajar dengan amanat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang menegaskan bahawa prinsip itu perlu diterjemahkan dalam semua aspek kehidupan, termasuk sektor pendidikan tinggi.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.