
KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof mengucapkan selamat menyambut Ramadan kepada umat Islam di Malaysia yang akan mula berpuasa esok.
Ahmad Zahid menerusi hantaran di Facebook menyifatkan Ramadan sebagai bulan penuh rahmat dan keberkatan yang memberi peluang untuk mempererat ukhuwah serta menanamkan nilai kasih sayang.
“Semoga Ramadan kali ini menjadi ruang untuk kita memperbanyakkan amal soleh, mengeratkan silaturahim dan membentuk masyarakat yang lebih harmoni,” katanya.
Sementara itu, Fadillah dalam hantaran berasingan mengajak umat Islam meningkatkan ibadah dan amalan sedekah serta mengelakkan pembaziran, selari dengan semangat Ramadan.
“Ramadan bulan penuh keberkatan dan peluang terbaik untuk kita melipatgandakan amal kebajikan, termasuk memperbanyakkan sedekah serta membantu mereka yang memerlukan,” katanya.
Beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air turut menekankan kepentingan mengawal pembaziran makanan yang sering meningkat ketika Ramadan, kerana ia bertentangan dengan nilai kelestarian dan keseimbangan sosial.
“Membazir merugikan dan menghilangkan keberkatan. Makanan yang berlebihan sebaiknya diinfakkan kepada yang memerlukan untuk memperoleh pahala,” katanya.
Fadillah menyeru masyarakat mengamalkan sikap sederhana dalam berbelanja dan mengutamakan sumbangan kepada golongan memerlukan sebagai langkah ke arah ‘zero waste’.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.