Tumpuan :
Nasional

Ahmad Zahid adakan lawatan rasmi atas jemputan kerajaan Timor-Leste

 

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengadakan lawatan rasmi ke Timor-Leste selama tiga hari bermula hari ini hingga Jumaat ini, atas jemputan kerajaan republik berkenaan.

Dalam kenyataan hari ini, Wisma Putra memaklumkan, lawatan rasmi tersebut akan terus mengukuhkan lagi tahap hubungan dua hala sedia ada dan menunjukkan sokongan berterusan Malaysia terhadap aspirasi Timor-Leste untuk menjadi anggota penuh ASEAN.

“Timbalan Perdana Menteri akan mengadakan kunjungan hormat ke atas Presiden Timor-Leste, José Ramos-Horta dan Perdana Menteri, Kay Rala Xanana Gusmão.

“Beliau juga dijadual mengadakan perjumpaan dengan rakan sejawat beliau, Timbalan Perdana Menteri I dan Menteri Penyelaras Hal Ehwal Ekonomi, Menteri Pelancongan dan Alam Sekitar, Francisco Kalbuadi Lay serta Timbalan Perdana Menteri II dan Menteri Penyelaras Hal Ehwal Sosial dan Menteri Kemajuan Desa dan Perumahan Masyarakat, Mariano Assanami Sabino,” menurut kenyataan itu.

Wisma Putra berkata, perbincangan dijangka menyentuh status hubungan dua hala Malaysia-Timor-Leste, kerjasama dalam Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), industri halal, pembangunan luar bandar serta perancangan bandar.

Dalam lawatan itu, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah akan diiringi pegawai kanan kerajaan dan wakil daripada Halal Development Corporation (HDC), Universiti Malaysia Sabah (UMS), Universiti Kuala Lumpur (UniKL) serta Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PlanMalaysia).

Timbalan Perdana Menteri juga dijadual untuk menyaksikan pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara UMS dan Universiti Nasional Timor-Leste dalam pengajian tinggi; MoU antara Education Malaysia Global Services (EMGS) dan Human Capital Development Fund Timor-Leste (FDCH) dalam kerjasama mobiliti pelajar biasiswa Kerajaan Timor-Leste ke Malaysia serta Surat Niat antara UniKL dan Institut Perniagaan Timor-Leste mengenai program pembangunan kakitangan dan mobiliti pelajar.

Selain itu, Ahmad Zahid turut akan merasmikan Sesi Meja Bulat anjuran HDC bertajuk ‘Menjadikan Halal sebagai Sumber Baharu Pertumbuhan Ekonomi Timor-Leste’ esok.

Mengakhiri lawatannya, Timbalan Perdana Menteri akan menghadiri sambutan Ulangtahun Referendum ke-25 (Popular Consultation Day) Timor-Leste di Parlimen Timor-Leste.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini