Tumpuan :
Nasional

Ahmad Shahril dilantik Pemangku CEO Bank Rakyat berkuat kuasa hari ini

Ahmad Shahril Mohd Shariff dilantik sebagai Pemangku CEO Bank Rakyat.

KUALA LUMPUR: Bank Rakyat melantik Ahmad Shahril Mohd Shariff sebagai Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) bank itu berkuat kuasa hari ini.

Menurut Bank Rakyat dalam satu kenyataan, Ahmad Shahril yang sebelum ini merupakan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif & Perniagaan menggantikan Datuk Mohammad Hanis Osman yang akan menamatkan tempoh perkhidmatannya hari ini.

“Pelantikan Ahmad Shahril bertujuan memastikan kesinambungan kepimpinan dan operasi Bank Rakyat berjalan lancar.

“Pelan peralihan ini membuktikan komitmen Bank Rakyat untuk terus memberikan nilai kepada pelanggan dan pemegang berkepentingannya. Kami yakin pelantikan ini akan terus membawa Bank Rakyat ke hadapan selain mencapai objektif strategik kami,” katanya.

Bank Rakyat berkata, pihaknya telah merangka pelan penggantian untuk pengisian jawatan Ketua Pegawai Eksekutif yang akan diumumkan kelak.

Ahmad Shahril mempunyai pengalaman selama lebih 26 tahun dalam industri perbankan dan kewangan serta mempunyai kelayakan akademik yang luas.

Beliau merupakan lulusan Ijazah Sarjana Muda Sains dalam Kewangan dan Perakaunan dari University of Salford, United Kingdom serta Ahli Bertauliah di Chartered Institute of Islamic Finance. — BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini