![](https://media.buletintv3.my/2023/01/pp-cms-Template-14.jpg)
PUTRAJAYA: Datuk Ahmad Redza Ghulam Rasool dilantik sebagai Ketua Pengarah Kerja Raya baharu, berkuatkuasa hari ini.
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuli Ali, berkata Ahmad Redza yang sebelum ini Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya (Sektor Infra), dilantik ke jawatan berkenaan menggantikan Ketua Pengarah Kerja Raya terdahulu, Datuk Seri Mohamad Zulkefly Sulaiman, yang bersara wajib.
Mohd Zuki berkata, Ahmad Redza, 59, dilantik berdasarkan kelayakan, ciri-ciri kepemimpinan dan pengalaman luas dalam bidang kejuruteraan, pengurusan projek pembangunan, pengurusan aset.
Katanya, Ahmad Redza juga pernah memegang jawatan Pengarah Negeri di beberapa negeri serta Pengarah Kanan di Pusat Kecemerlangan Kejuruteraan dan Teknologi Jabatan Kerja Raya (JKR).
“Tahniah atas pelantikan Datuk Ahmad Redza Ghulam Rasool sebagai Ketua Pengarah Kerja Raya berkuatkuasa pada 5 Januari 2023.
“Beliau sudah berkhidmat dalam perkhidmatan awam selama 39 tahun sebagai Jurutera Awam bermula pada 21 Disember 1984 dan mempunyai Ijazah Sarjana Muda Sains Kejuruteraan Awam dari Universiti Missouri, Amerika Syarikat,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Mohd Zuki juga percaya pengalaman, pengetahuan dan kredibiliti yang dimiliki Ahmad Redza dapat memacu agenda pembangunan dan infrastruktur negara sekali gus mengangkat JKR sebagai agensi teknikal utama negara bertaraf dunia.
Pada masa sama, Mohd Zuki yang mewakili kerajaan turut mengucapkan terima kasih dan penghargaan kepada Mohamad Zulkefly atas jasa dan khidmat bakti beliau kepada negara sepanjang perkhidmatan.