KOTA BHARU: Bekas Ahli Parlimen Machang, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub dilantik semula sebagai Pengerusi Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (FELCRA) berkuat kuasa 1 Mac 2023.
Perkara itu diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika berucap pada Majlis Pengenalan Calon Pengerusi Tetap, Timbalan Pengerusi Tetap, Naib-naib Presiden dan Ahli Majlis Tertinggi sempena Pemilihan UMNO sesi 2023-2026 peringkat negeri Kelantan di Kota Bharu, hari ini.
“Saya cukup menghargai Ahmad Jazlan yang cukup komitmen dan saya ingin umumkan beliau dilantik semula sebagai Pengerusi FELCRA,” katanya hari ini.
Media sebelum ini melaporkan, pelantikan Ahmad Jazlan sebagai Pengerusi FELCRA ditangguhkan bagi membolehkan penyelarasan lantikan di semua badan berkanun, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) serta agensi lain, dilaksanakan.
Sementara itu, media turut melaporkan Ahmad Zahid sebagai berkata, pelantikan semula Ahmad Jazlan sebagai Pengerusi FELCRA itu selepas mengambil kira kehendak perwakilan Koperasi Peserta-Peserta Malaysia Berhad.
Penyelarasan lantikan terbabit akan ditentukan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.