JEMPOL: Ah long mungkin tersalah rumah sehingga menyebabkan bahagian hadapan rumah yang disewa seorang lelaki selain kereta disimbah cat merah dalam kejadian yang berlaku pagi tadi.
Mangsa yang berusia 20-an yang terkejut dengan kejadian itu berkata, pihak yang tidak bertanggungjawab itu turut meninggalkan nota bertulis ‘last warning’ berserta nama individu yang tidak dikenalinya.
“Saya menyedari terdapat cat di hadapan rumah ketika mahu keluar bekerja kira-kira jam 7.30 pagi tadi, cat itu mengenai lantai bahagian hadapan rumah dan kereta.
“Ada nota ditinggalkan dalam peti surat,saya tidak mengenali individu yang dimaksudkan malah saya sendiri tidak pernah membuat pinjaman dengan mana-mana pemberi pinjaman wang atau ah long.
” Saya turut memaklumkan kejadian ini kepada pemilik rumah,”katanya ketika ditemui.
Katanya,ia merupakan kejadian pertama sejak dia menyewa rumah berkenaan setahun lalu dan laporan polis sudah dibuat bagi membolehkan tindakan lanjut dilakukan.
Sementara itu,Ketua Polis Daerah Jempol,Superintendan Hoo Chang Hook berkata, usaha mengesan suspek sedang giat dilakukan sebaik menerima laporan daripada pengadu kira-kira jam 3.37 petang tadi.
“Berdasarkan siasatan, mangsa iaitu penyewa memaklumkan sebelum kejadian kira-kira jam 10.30 malam Ahad lalu, rumah dan keretanya berada dalam baik.
“Katanya pemilik rumah juga turut memberitahu ini adalah kejadian pertama sejak dia membeli rumah tersebut dan tiada rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di tempat kejadian.
“Polis masih menjalankan siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.