BANGI: Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan ahli parti yang menghadiri himpunan solidariti sebagai mengambil risiko sendiri.
Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, arahan dikeluarkan Setiausaha Agung adalah berdasarkan arahan dikeluarkan Ketua Polis Negara.
“Aspek keselamatan dan arahan yang dikeluarkan mempunyai alasan tersendiri dan harus dipatuhi.
“Kita harap tidak ada penganjur daripada mana-mana bahagian atau cawangan yang turut terbabit secara rasmi di perhimpunan berkenaan,” katanya ketika ditemui media selepas merasmikan Kuali Cafe UKM Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) , di sini, hari ini.
Menjawab sama ada tindakan akan diambil terhadap mereka yang menghadiri perhimpunan berkenaan, Ahmad Zahid menegaskan itu adalah risiko yang akan ditanggung oleh individu berkenaan.
Sebelum ini, Istana Negara dalam satu kenyataan memaklumkan cadangan supaya mana-mana banduan diberikan pengampunan atau pengurangan hukuman, hendaklah dikemukakan banduan terbabit untuk dipertimbangkan oleh Lembaga Pengampunan yang dipengerusikan Yang di-Pertuan Agong pada mesyuarat akan datang.
Menurut Istana Negara, ini kerana kuasa memberi ampun, tunda hukum dan lega hukum bagi apa-apa kesalahan yang dilakukan dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, adalah prerogatif Yang di-Pertuan Agong.
Kuasa prerogatif itu termaktub berdasarkan peruntukan Perkara 42(1) dan (2) Perlembagaan Persekutuan.
Polis Diraja Malaysia (PDRM) pula kemudian menggesa orang ramai supaya tidak menyertai sebarang perhimpunan dianjurkan mana-mana pihak berkaitan isu tuntutan mendapatkan pengampunan diraja.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, dipetik berkata ia demi menghormati titah Yang di-Pertuan Agong berhubung kuasa prerogatif baginda dalam urusan pengampunan itu, selain bagi menjaga keselamatan dan ketenteraman awam.
Susulan itu, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dalam satu kenyataan, berkata parti berkenaan mengambil keputusan untuk tidak meneruskan perhimpunan yang bertujuan menyatakan solidariti berhubung isu Titah Adendum.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.