KUALA LUMPUR: Ahli politik hanya perlu bercakap mengenai pilihan raya jika penyandang Ahli Parlimen meninggal dunia atau bila Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang diadakan.
Bekas Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, berkata jika tidak tumpuan harus diberikan untuk memajukan ekonomi negara.
“Tidak kira sama ada PRU Ke-15 (PRU-15) diadakan sekarang atau kemudian memandangkan penggal Parlimen akan tamat pada Julai tahun depan.
“Apa yang lebih penting kerajaan dan pembangkang perlu menunjukkan bahawa kestabilan politik negara adalah utuh.
“Walaupun kedudukan Indonesia lebih rendah daripada Malaysia dalam Indeks Persaingan Global, mereka mengatasi kita dari segi menarik lebih banyak pelaburan langsung asing (FDI) kerana kestabilan politik.
“Di Indonesia, politik sudah tamat sebaik sahaja pilihan raya presiden berakhir, tetapi di Malaysia selalu ada cakap-cakap mengenai untuk mengadakan satu demi satu pilihan raya,” katanya pada program khas sempena pembentangan Bajet 2023 yang disiarkan TV3 petang semalam.
Beliau berkongsi pandangan sebagai panel jemputan bersama Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli dalam program dihoskan Mior Abdul Malek Raiyani dan Azaria Tagaya.
Johari berkata, kestabilan politik penting untuk menarik dan mengekalkan pelaburan asing ke negara ini dan pelabur akan melihat dua aspek sebelum melabur dalam sesebuah negara.
“Pelabur kalau dia hendak datang (melabur), peraturan nombor satu ialah kena tengok kestabilan politik, kemudian kepemimpinan negara contohnya dalam masa empat tahun ada tiga perdana menteri, jadi dia tidak akan melabur.
“Apa yang kita kesalkan, pelabur dalam negara mereka akan tunggu sebab takut ada perubahan dasar. Saya sarankan akan datang siapa saja yang mentadbir negara, dasar tak boleh ‘flip-flop’ sebab ia memberi kesan jangka panjang,” katanya.
Katanya, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia juga masih ke belakang, berbanding negara rantau ASEAN lain walaupun pandemik sudah semakin pulih.
“Kalau kita tengok dalam ASEAN, semua negara terjejas apabila COVID-19 melanda, tetapi memasuki tahun 2021 semua negara sudah pulih (GDP).
“Tetapi, kita masih negatif sedangkan negara lain seperti Indonesia, Singapura, Thailand dan Vietnam keseluruhan KDNK mereka positif. Ini kerana, dasar kita ketika pandemik tidak konsisten contohnya sekejap buka sekejap tutup (Perintah Kawalan Pergerakan),” katanya.
Johari berkata, pelaksanaan sekatan pergerakan yang tidak konsisten dalam memerangi COVID-19 turut membantutkan pertumbuhan ekonomi negara.
“Perusahaan kecil dan sederhana (PKS) kehilangan modal perniagaan akibat langkah flip flop ini. PKS membentuk 98 peratus syarikat di Malaysia dan menyumbang kepada hampir separuh daripada jumlah pekerjaan negara.
“Sebaliknya, negara ASEAN lain melaksanakan perintah berkurung dengan serius dan sebaik saja mereka membuka semula ekonomi, mereka tidak kembali kepada perintah berkurung.
“Negara-negara ASEAN lain dahulunya ketinggalan di bekalang kita, kini mereka mendahului kita. Indonesia dan Vietnam contohnya berjaya menarik lebih banyak FDI pada 2020 dan 2021,” katanya.
Beliau berkata, KDNK negara pada 2020 ialah -5.65 peratus, tetapi pada 2021 kadar pertumbuhan 3.13 peratus direkodkan.
“Tetapi kadar pertumbuhan kita masih negatif,” katanya.
Sebagai langkah jangka panjang, Johari menyeru kerajaan untuk mengenal pasti dan membangunkan PKS berpotensi yang boleh mengurangkan kebergantungan negara kepada import untuk memajukan ekonomi.
“Kerajaan perlu memberi tumpuan kepada projek yang mempunyai ‘kesan berganda’ untuk aktiviti domestik supaya peruntukan tambahan dapat disalurkan untuk melancarkan subsidi kepada pengguna,” katanya.
Sementara itu, Rafizi turut bersetuju dengan pandangan Johari yang berkata, keputusan kerajaan dalam mentadbir urus negara akan mempengaruhi keyakinan pelabur.
Kata beliau, pelabur bukan saja melihat bagaimana kerajaan mengemudi dan mengimbangi antara menguruskan krisis, tetapi pada masa sama hala tuju yang konsisten itu juga penting.
“Sebab itu soal kestabilan politik ini sebenarnya soal keyakinan pelabur terhadap kemampuan sesebuah kerajaan itu.
“Bukan saja menguruskan krisis tetapi meletakkan rancangan masa sederhana dan panjang serta konsisten,” katanya. – BERITA HARIAN