Oleh: Kumaran Rajamoney
BUTTERWORTH: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi peringatan kepada ahli politik, dan ejen luar supaya tidak mencampuri urusan perolehan aset oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Ini kerana, kerajaan telah menetapkan setiap perolehan aset ketenteraan akan diputuskan sendiri mengikut kepakaran yang ada pada pihak ketenteraan.
“Orang politik jangan campur. Bila diputuskan (oleh pimpinan ketenteraan), kita akan bincang di Kementerian Kewangan mengenai kos dan buat rundingan terus antara kerajaan dengan kerajaan.”
“Langkah ini bagi menutup ketirisan yang sudah banyak. Dasar sebelum ini melibatkan komisen yang tinggi sampaikan mencecah nilai ratus juta ringgit. Menteri atau pimpinan dipilih bukan untuk perkayakan diri dengan mencampuri urusan tender,” katanya.
Tambah beliau, aset ketenteraan ketika ini tidak kompetetif dan pembaharuan menyeluruh diperlukan bagi kesiapsiagaan yang sepenuhnya.
Dalam pada itu, Perdana Menteri memaklumkan kerajaan akan mula memberikan keutamaan kepada pembaikan dan naik taraf kediaman tentera di seluruh negara, tahun depan.
“Tahun ini kerajaan menumpukan kepada projek membaik pulih sekolah dan klinik daif. Dalam bajet tahun hadapan tumpuan ini kita akan alihkan kepada perumahan penjawat awam terutamanya dari sektor keselamatan.”
“InsyAllah, kalau ada lebihan kita akan mulakan juga usaha baik pulih kediaman awam terutamanya yang dalam keadaan sangat daif.”
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra bersama lebih 700 Warga Pangkalan Udara Butterworth sempena Hari Ulangtahun TUDM ke-65 di sini hari ini.