comscore
Tumpuan :
Nasional

Ahli Persatuan PTD diminta kekal profesional

KUALA LUMPUR : Semua ahli Persatuan Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik Malaysia (PPTD) diminta terus kekal profesional dan menyokong keputusan kerajaan berhubung penamatan perkhidmatan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Datuk Seri Mohd Shafiq Abdullah berkuat kuasa, kelmarin.

Presidennya, Datuk Isham Ishak, berkata ini kerana ketetapan dan peraturan diambil itu bagi menjaga kredibiliti serta integriti perkhidmatan awam.

Katanya, keputusan itu walaupun memberi impak kepada PPTD, ia dilaksanakan dengan penuh tertib dan berlandaskan peraturan ditetapkan.

“Bagi menjamin kebajikan seorang penjawat awam, proses dan peraturan ini harus dihormati,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd Zuki Ali memaklumkan perkhidmatan Mohd Shafiq sebagai KPPA ditamatkan berkuat kuasa kelmarin selaras peraturan 49(3) Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 [P.U. (A) 395/1993].

Isham berkata, seperti diperjelaskan melalui siaran media pejabat KSN, proses penamatan itu sudah melalui saringan dan prosedur ditetapkan.

“Keputusan diambil sudah diteliti dengan teratur oleh Jabatan Peguam Negara (AGC) kerana jawatan KPPA adalah satu jawatan sangat penting dan kritikal kepada sistem pentadbiran kerajaan,” katanya.

Sementara itu, CUEPACS meminta semua pihak khususnya penjawat awam tidak memanjangkan isu penamatan jawatan Mohd Shafiq kerana keputusan dibuat berdasarkan dapatan jawatankuasa siasatan.

Presidennya, Datuk Adnan Mat, berharap ketetapan itu dihormati dan meminta semua pihak mengambilnya sebagai pengajaran berguna.

Beliau berkata, pihak luar juga digesa tidak mempolitikkan isu penamatan KPPA kerana bimbang ia boleh mengelirukan pelbagai pihak.

“CUEPACS menggesa semua pihak terutama warga perkhidmatan awam terus bergerak ke depan dan tidak memanjangkan isu penamatan perkhidmatan ini sehingga menjejaskan perkhidmatan kepada rakyat.

“Selari dengan keputusan penamatan yang diambil melalui prosedur Penamatan Demi Kepentingan Awam, semua pihak perlu menghormatinya.

“Keputusan dibuat kerajaan bersandarkan hasil dapatan daripada jawatankuasa siasatan yang ditubuhkan,” katanya.

Mengulas lanjut, Adnan berkata, prinsip yang beliau titipkan itu penting kerana suasana harmoni dan persekitaran kerja positif memberi kesan kepada mutu perkhidmatan cemerlang.

Justeru, beliau berharap isu berkenaan tidak dibangkitkan lagi kerana bimbang boleh menjejaskan hubungan permuafakatan atau kerjasama erat sesama rakan sekerja.

“Hormatilah antara satu sama lain kerana kita semua dalam perkhidmatan awam mempunyai matlamat sama iaitu memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat dan negara,” katanya.

Bagi pegawai lantikan politik dalam perkhidmatan awam, Adnan menyarankan mereka perlu menjadikan amanat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai panduan.

Katanya, mereka yang berada dalam Kerajaan Perpaduan harus menghormati proses kerjasama dengan penjawat awam dalam usaha pemulihan negara.

“Hubungan antara kakitangan tidak kira jawatan harus dijaga dengan baik kerana kerjasama kukuh akan diterjemahkan melalui kualiti perkhidmatan cemerlang,” katanya.

Loading...
Terkini