comscore
Tumpuan :
Nasional

Ahli perniagaan Malaysia dakwa diancam ‘Mafia Pakistan’ 

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Seorang ahli perniagaan Malaysia bimbang dengan keselamatan dirinya dan keluarga selepas kediaman mereka di Pakistan didakwa diserang sekumpulan mafia tempatan dengan peluru, baru-baru ini.

Berikutan itu, Datuk Mohammad Tahir Rahat, rakyat Malaysia berasal dari Pakistan meminta bantuan Wisma Putra berhubung keselamatan keluarganya, lapor Berita Harian.

Mohammad Tahir mendakwa, serangan mafia itu berpunca daripada tindakan kumpulan berkenaan yang mahu merampas tanah miliknya yang diwarisi sejak turun temurun di daerah Hisari Nehri, Pakistan.

Dalam kejadian Ahad lalu, dia mendakwa 200 mafia lengkap bersenjata melepaskan tembakan ke arah menara peninjau rumahnya sekitar jam 7 pagi menyebabkan dia juga terpaksa berbalas tembakan dengan mereka.

“Kejadian itu berlarutan sehingga jam 8.30 pagi sehingga pihak polis tiba.

Namun, kedatangan mereka hanya menyuraikan tembak menembak bukan menghentikan kegiatan mafia berkenaan.

“Kumpulan mafia berkenaan sudah merampas tanah milik saya buat masa sekarang dan mereka juga membina tembok pengadang serta menara peninjau di kawasan berkenaan,” dakwanya.

Beliau berkata, mafia terbabit turut bertindak menutup semua jalan keluar masuk ke rumahnya itu dari jam 7 pagi hingga 7 petang supaya tiada bantuan dapat diberikan.

Mohammad Tahir yang berasal dari Pakistan berhijrah ke Malaysia bagi memulakan kehidupan baharu pada 1980-an dan berjaya mendapatkan taraf kewarganegaraan.

Loading...
Terkini