Tumpuan :
Nasional

Ahli Parlimen Sungai Buloh serah gaji, elaun untuk 6 surau

Oleh: Zulfakhri Shamsul Ariffin

KUALA LUMPUR: Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan menyerahkan gaji dan elaunnya kepada enam surau serta mengagihkan 6,000 paket bubur lambuk sepanjang Ramadan di Parlimen Sungai Buloh.

Ramanan yang juga Ahli Parlimen Sungai Buloh berkata, inisiatif itu adalah sebahagian daripada janjinya sejak Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) untuk menyumbangkan gaji dan elaunnya kepada rumah ibadat pelbagai agama secara bergilir-gilir.

“Sempena bulan Ramadan ini, hari ini saya menyampaikan keseluruhan gaji dan elaun saya kepada 6 surau sekitar kawasan Parlimen Sungai Buloh.

“Sebelum ini, rumah ibadat lain seperti tokong, kuil dan gereja juga telah menerima sumbangan melalui gaji dan elaun saya mengikut giliran masing-masing.

“Pada hari ini, antara surau yang menerima manfaat ialah Surau Madrasatul Falahiyah, Surau An-Najah Taman Subang Idaman, Surau At-Taqwa, Surau As-Salam, Surau Al-Mukim, dan Surau Al-Hidayah”, katanya.

Menurut beliau, sejak dipilih sebagai Ahli Parlimen Sungai Buloh pada 2022, sebanyak RM580,000 telah disumbangkan kepada hampir 100 rumah ibadat dalam kawasan itu.

“Saya yakin sumbangan ini akan dimanfaatkan sebaiknya demi kesejahteraan dan kebajikan komuniti setempat,” katanya yang juga Timbalan Ketua Penerangan PKR.

Bersempena dengan Ramadan, Ramanan bersama pasukan Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Sungai Buloh turut mengagihkan 6,000 paket bubur lambuk secara percuma di kawasan itu.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini