![](https://media.buletintv3.my/2024/02/CMS-3-1024x538.jpg)
KUALA LUMPUR: Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani menyeru ahli parlimen menjunjung titah Sultan Ibrahim dan saling bekerjasama demi masa depan negara.
Johari yang juga ahli parlimen Titiwangsa berkata adalah penting bagi kedua-dua pihak kerajaan dan pembangkang untuk bekerjasama bagi mengembalikan ekonomi ke landasan yang betul.
“Kerajaan dan pembangkang mesti bekerjasama untuk mengembalikan ekonomi ke landasan yang betul.
“Kebajikan rakyat dan ekonomi negara mesti diutamakan,” katanya sambil menambah status quo dalam struktur parti pemerintah sehingga 2027 seperti yang dititahkan oleh Agong akan membolehkan tumpuan (semua pihak) tidak beralih daripada mencapai matlamat ini.
Semalam, Sultan Ibrahim menyempurnakan istiadat perasmian Penggal Ketiga Parlimen ke-15.
Ia juga merupakan kali pertama baginda merasmikan Dewan Rakyat sejak dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 pada Januari.
Titah baginda, Sultan Ibrahim turut menyeru kedua-dua parti kerajaan dan pembangkang untuk terus bersatu dan bekerjasama membangunkan Malaysia demi kepentingan rakyat.
Baginda bertitah, kejayaan dan kegagalan negara bukan semata-mata bergantung kepada Perdana Menteri, tetapi juga bergantung kepada tanggungjawab kesemua 222 ahli parlimen yang dipilih rakyat.
Pada masa sama, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi turut memberi jaminan komitmen kerajaan terhadap prosiding Dewan Rakyat.
Zahid yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah berkata ahli Parlimen kerajaan bersedia sepenuhnya untuk menyertai perbahasan diraja susulan titah titah Sultan Ibrahim semasa istiadat perasmian.
“Saya menghadiri (majlis perasmian) Parlimen pagi ini dan mendengar titah titah Yang di-Pertuan Agong ke-17 Sultan Ibrahim sempena perasmian Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Parlimen ke-15 hari ini.
“Bersama-sama Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) dan ahli parlimen kerajaan, kami bersedia sepenuhnya untuk perbahasan titah diraja yang bermula esok (hari ini) dan akan memberikan komitmen tinggi pada sidang Parlimen ini, Insya-Allah,” katanya
Sementara itu, Presiden MCA Datuk Seri Dr Wee Ka Siong turut melahirkan harapan agar persidangan Dewan Rakyat terus mengutamakan agenda berkaitan kesejahteraan rakyat.
Wee yang merupakan ahli parlimen Ayer Hitam juga berharap prosiding berjalan lancar.
“Sejarah tercipta hari ini dengan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim, Agong Malaysia merasmikan istiadat perasmian Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Parlimen Ke-15.
“Yang Mulia Raja Zarith Sofiah, Raja Permaisuri turut menyerikan majlis dengan kehadiran baginda.
“Semoga prosiding Dewan Rakyat akan datang berjalan lancar dan akan terus mengutamakan agenda rakyat,” katanya.