Tumpuan :
Nasional

Ahli Parlimen dilarang guna perkataan ‘kurang ajar’ – Speaker Dewan Rakyat

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen dilarang menggunakan perkataan ‘kurang ajar’ sepanjang berbahas di Dewan Rakyat, bermula hari ini.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul, menyifatkan perkataan itu tidak berparlimen dan meminta ahli Parlimen mengambil serius perkara berkenaan.

“Berhubung perkataan kurang ajar, selepas meneliti semua perkara yang terjadi di Dewan ini dan setelah merujuk kepada Kamus Dewan keluaran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) keluaran 2007 edisi empat muka surat 854.

“Kurang ajar bermaksud tidak sopan atau buruk, atau kasar budi pekertinya.

“Oleh yang demikian, mulai hari ini saya tidak membenarkan mana-mana ahli Yang Berhormat menggunakan perkataan kurang ajar, saya takrifkan perkataan ini sebagai ‘unparliamentary’.

“Saya harap Yang Berhormat mengambil perkara ini secara serius. Selain daripada itu, ia bukan takrifan saya. Kurang ajar tidak dibenarkan digunakan di Parlimen,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Ketetapan itu dibuat Johari sebagai maklum balas terhadap surat ditulis Datuk Seri Shahidan Kassim (PN-Arau) minggu lalu, yang memohon penjelasan berkenaan penggunaan perkataan ‘jangan kurang ajar’.

Selepas membuat ketetapan itu, Datuk Ahmad bin Saad @ Yahaya (PN-Pokok Sena) bangkit meminta penjelasan Dewan Rakyat, terhadap penggunaan perkataan ‘jangan kurang ajar’.

Johari bagaimanapun berkata, ahli Parlimen diminta memilih perkataan lain kerana penggunaan ayat itu boleh menimbulkan masalah.

“Isunya, pilihlah perkataan lain sebab ia akan menimbulkan masalah sebab saya katakan perkataan itu sendiri yang dinyatakan dalam kamus, ia melambangkan seseorang itu buruk budi pekertinya atau tidak sopan,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini