Tumpuan :
Nasional

Ahli Parlimen dalam negara ASEAN perlu diberi lebih peluang menyuarakan pandangan, idea

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul (tiga dari kiri), semasa Sesi Bersemuka Pemimpin ASEAN bersama Wakil Perhimpunan Antara Parlimen ASEAN (AIPA) di Sidang Kemuncak ASEAN ke-44 dan ke-45.

Oleh: Syafiqah Damanhuri

VIENTIANE: Ahli Parlimen di negara ASEAN perlu diberi lebih peluang untuk menyuarakan pandangan serta idea baharu.

Itu saranan yang disampaikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi memastikan pengukuhan institusi kerajaan dapat dilakukan.

Perkara itu dinyatakan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul, semasa Sesi Bersemuka Pemimpin ASEAN bersama Wakil Perhimpunan Antara Parlimen ASEAN (AIPA) di Sidang Kemuncak ASEAN ke-44 dan ke-45 serta Sidang Kemuncak Berkaitan yang turut melibatkan ketua-ketua negara anggota ASEAN.

“Saranan Perdana Menteri itu bagi memastikan pandangan itu boleh memberikan idea baharu, apatah lagi bukan saja ASEAN, malah Asia akan menjadi medan ekonomi yang terbaik selepas ini.

“Saya kira kita harus sedia menerima hakikat bahawa di luar, masalah sedang membengkak tetapi kita harus perkukuhkan kedudukan kita dan dengan penduduk ASEAN berjumlah 680 juta, kita harus memanfaatkannya,” katanya ketika ditemui media, semalam.

Beliau turut memaklumkan, antara perkara yang menjadi tumpuan pada sesi berkenaan adalah mengenai kepentingan hubungan rapat antara semua kerajaan dan dewan di negara ASEAN supaya apa yang dihasratkan rakyat dapat disambut dengan tindakan segera oleh eksekutif.

Menurutnya, selaku Pengerusi ASEAN tahun depan, Malaysia berazam memastikan penganjuran Sidang Kemuncak itu menjadi yang terbaik dalam sejarah ASEAN.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini