Tumpuan :
Nasional

Ahli Parlimen boleh hadir Dewan Rakyat tanpa tali leher esok

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul.

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen yang menghadiri sidang Dewan Rakyat esok dikecualikan daripada memakai tali leher.

Kebenaran itu diputuskan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul, selepas mendapat permintaan serta cadangan daripada wakil rakyat.

“Cuma satu peringatan dan permintaan, ada cadangan sebelum untuk esok, mereka yang nak memakai sut, saya mengecualikan daripada memakai tali leher,” katanya sebelum menangguhkan persidangan hari ini.

Dengan pengecualian itu, Johari berkata, Ahli Parlimen yang menghadiri sidang Dewan Rakyat esok boleh memakai set baju Melayu atau sut tanpa tali leher.

Berdasarkan garis panduan Kod Etika Berpakaian Parlimen Malaysia, bagi individu lelaki yang memasuki Parlimen harus mengenakan kot, berseluar panjang dan disesuaikan dengan kemeja lengan panjang serta bertali leher.

Pilihan warna bagi seluar dan kot harusnya sepadan dan digalakkan berwarna hitam atau gelap.

Bagi wanita pula, harus mengenakan kot, kemeja, berseluar panjang atau skirt labuh dengan pilihan warna hitam atau gelap.

Bagi setiap hari Khamis, mereka yang memasuki Parlimen dibenarkan memakai baju batik.

Loading...
Terkini