Tumpuan :
Nasional

Ahli GISBH tidak mahu sertai program pemulihan tanpa restu pemimpin – Peguam

KUALA LUMPUR: Ahli Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH) berkemungkinan tidak akan menyertai program pemulihan yang dilaksanakan Majlis Keselamatan Negara (MKN) tanpa restu daripada pimpinan tertinggi kumpulan berkenaan.

Mendedahkan perkara itu, peguam yang mewakili GISBH, Rosli Kamaruddin, berkata mereka sebenarnya menyambut baik inisiatif berkenaan namun masih ada segelintir ragu untuk menyertai program berkenaan.

Katanya, ahli tidak tahu bagaimana untuk memberikan maklum balas kepada tawaran itu terutamanya pemimpin kanan mereka masih ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

“Ketika program yang sama diperkenalkan pada zaman (pengasas Al-Arqam) Ashaari Muhammad, beliau sendiri memberikan arahan supaya komuniti ini meninggalkan ajaran sesat dan kembali ke jalan yang benar, namun hari ini tiada pemimpin untuk memberikan arahan sedemikian,” katanya seperti dilaporkan portal berita FMT.

Sebelum ini, Timbalan Ketua Pengarah Keselamatan Negara, Datuk Baharuddin Ahmad memaklumkan kerajaan mewujudkan lebih 20 pusat pemulihan di seluruh negara bagi menempatkan ahli GISBH untuk menyertai Program Rehabilitasi secara sukarela.

Program yang dikendalikan bersama oleh MKN, Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) adalah sebagai inisiatif dalam usaha membimbing mereka untuk kembali kepada ajaran Islam sebenar.

Baharuddin berkata berdasarkan rekod diterima MKN, dianggarkan terdapat 10,500 ahli GISBH di seluruh negara.

Katanya, program itu akan dilaksanakan secara berperingkat selama 90 hari di beberapa pusat latihan kerajaan terpilih selain disediakan penginapan, makan dan minum sepanjang tempoh itu.

Mengulas lanjut, Rosli berkata ada sebahagian daripada ahli pula tidak berminat untuk menyertai program itu kerana mereka menganggap kepercayaan dan amalan kumpulan itu sebagai tidak sesat.

“Namun keadaannya akan berbeza jika Ketua Pegawai Eksekutif dan ahli lembaga pengarah dapat menasihati ahli untuk menyertai program pemulihan, tetapi malangnya mereka masih ditahan di bawah SOSMA,” katanya.

Menurut Rosli, ahli juga ingin tahu sama ada mereka akan diberikan elaun sepanjang program berkenaan, memandangkan mereka kehilangan sumber pendapatan selepas pihak berkuasa merampas premis perniagaan dan aset lain.

“Mereka kini berdepan kesukaran untuk menyara hidup. Bagaimana mereka menampung keluarga jika menyertai program selama tiga bulan ini? Adakah kerajaan akan menyediakan elaun? Jika ya, berapa jumlahnya?” soalnya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini