comscore
Tumpuan :
Nasional

Ahli GISBH dijemput sertai program rehabilitasi, lapor polis jika diancam

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Semua ahli GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) dijemput untuk menyertai program rehabilitasi secara sukarela yang diterajui Majlis Keselamatan Negara, Jabatan Perdana Menteri (MKN JPM).

Ketua Pengarah Keselamatan Negara, Datuk Raja Nushirwan Zainal Abidin berkata, usaha itu dilaksanakan secara kolaborasi bersama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan agensi terlibat bagi memastikan aspek akidah serta kelangsungan hidup ahli GISBH terjamin.

“Kerajaan mengambil berat terhadap ahli GISBH yang memerlukan bimbingan akidah dan kelangsungan hidup selepas tindakan penguatkuasaan terhadap organisasi ini.

“Kumpulan ini yang terdiri daripada ibu, bapa dan anak-anak kecil tidak seharusnya disisihkan tetapi mereka memerlukan bimbingan dan sokongan penuh kerajaan dan masyarakat untuk kembali kepada ajaran Islam sebenar,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelasnya, program tersebut terbuka kepada semua ahli GISBH di semua peringkat umur dengan menawarkan program pemulihan aspek akidah, syariah, pendidikan, kesihatan, kenegaraan dan latihan kemahiran secara komprehensif.

Beliau berkata, program itu akan dilaksanakan secara berfasa di beberapa pusat latihan terpilih dan semua peserta terlibat akan disediakan penginapan, makan dan minum sepanjang program berlangsung.

“Pendaftaran secara dalam talian boleh dibuat bermula 14 Oktober sehingga 14 November 2024.

“Semua peserta akan dihubungi terlebih dahulu selepas pendaftaran dibuat bagi tujuan koordinasi logistik,” katanya.

Pendaftaran boleh dilaksanakan secara dalam talian menerusi pautan https://form.jotform.com/242760538389468 atau menghubungi pusat panggilan JAKIM di talian 03-88707294 / 7295/ 7296.

Selain itu, mereka juga boleh menghubungi Bilik Situasi, Pusat Pengurusan Operasi Negara (PPON) MKN di talian 03-88880733 bagi mendapatkan bantuan pendaftaran secara dalam talian atau pendaftaran di Jabatan Agama Islam Negeri-Negeri dan Ibu Pejabat Polis Daerah.

“Sekiranya ahli GISBH yang ingin menyertai program ini mendapat sebarang ancaman atau ugutan daripada pihak yang tidak bertanggungjawab, sila buat laporan polis di mana-mana balai polis yang berdekatan bagi tujuan siasatan dan tindakan lanjut pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM),” katanya.

Polis melancarkan Op Global awal September lalu dan menyerbu rumah amal di seluruh Semenanjung yang dikaitkan dengan GISBH kerana disyaki terbabit dalam kegiatan eksploitasi kanak-kanak serta agama.

Seramai 359 pengikut GISBH turut ditahan dalam operasi berkenaan termasuk pengurusan tertinggi syarikat itu.

Perlis, Selangor, Pahang dan Melaka mengisytiharkan amalan dan kepercayaan GISBH yang dikaitkan dengan kegiatan eksploitasi kanak-kanak dan dakwaan doktrin ketaasuban agama itu sebagai menyeleweng dan sesat.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini