Tumpuan :
Nasional

Ah long tuntut bayaran tambahan, ugut bakar deretan rumah jiran

Mangsa (berkaca hitam) dan anaknya menunjukkan laporan polis bersama Charles Yuen

Oleh: Kumaran Rajamoney

IPOH: Seorang wanita buntu apabila menjadi mangsa ugutan Ah long secara berterusan meskipun tidak mengambil sebarang pinjaman.

Ketua Biro Pengaduan dan Perkhidmatan Awam MCA Perak, Charles Yuen berkata wanita itu turut mengalami kerugian ribuan ringgit apabila rumah dan kenderaannya mengalami kemusnahan teruk selepas dibakar.

Masalah katanya berpunca selepas anak mangsa yang bekerja di Singapura telah membuat permohonan pinjaman berjumlah SGD3,000 (RM9,900) dari satu organisasi yang membuat pengiklanan di laman sosial.

Bagaimanapun, mangsa hanya menerima pendahuluan SGD500 (RM1,650) dan diberikan pelbagai syarat yang menyebabkan mangsa kemudian membatalkan niatnya itu.

“Bagaimanapun Ah long ini telah bertindak membuat tuntutan wang secara berterusan. Keengganan mangsa menyebabkan rumahnya dibakar. Mangsa kemudiannya membuat pembayaran berjumlah RM31,200.

“Bagaimanapun tuntutan tambahan dibuat. Bila mangsa enggan membuat bayaran tambahan, Ah long ini telah bertindak membakar rumah mangsa buat kali kedua. Akibatnya dua unit rumah jirannya juga turut terbakar,” katanya.

Susulan itu laporan polis dibuat, dan beberapa suspek sudah ditahan bagi membantu siasatan.

Charles bagaimanapun menyifatkan kejadian itu sangat serius dan memerlukan campur tangan dari pihak berwajib secara lebih agresif.

Ini kerana pihaknya sendiri sudah menerima lebih 20 aduan mengenai Ah long yang menggunakan modus operandi yang hampir sama.

“Saya memohon pihak berkuasa dapat memantau rapi kes-kes begini dapat diselesaikan kerana mangsa hidup dalam keadaan ketakutan. Dia juga berhenti kerja di Singapura kerana berhadapan situasi sukar di sini,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini