comscore
Tumpuan :
Nasional

Agus dirakam keterangan petang ini – KPN

KUALA LUMPUR: Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff akan dirakam keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang hari ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, bekas Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) itu diminta hadir, jam 2 petang.

“Mohammad Agus akan diambil keterangan hari ini di IPD Kajang, jam 2 petang, manakala Wahab (Abdul Wahab Abdul Kadir Jilani) dalam masa terdekat.

“Terdapat juga individu-individu lain yang dijangka akan dipanggil bagi membantu siasatan,” katanya, hari ini.

Menurutnya, setakat ini, pihak polis masih belum mengenal pasti ‘Mr H’ yang didakwa oleh Mohammad Agus dan Abdul Wahab sebagai dalang di sebalik penularan video berkenaan.

Terdahulu, media melaporkan Polis Selangor menerima laporan berhubung rakaman video tular mengenai perbualan lucah didakwa babit dua individu termasuk seorang yang mirip Mohammad Agus.

Sebelum itu, rakaman video berdurasi 3.03 minit yang tular sejak Khamis lalu menjadi topik hangat di media sosial, berikutan individu berkenaan dikenali umum.

Susulan itu, Mohammad Agus yang meletak jawatan sebagai Ketua Pengarah J-KOM mendakwa video perbualan yang mengaitkan dirinya adalah palsu dan disunting pihak tidak bertanggungjawab.

Dakwanya, tindakan itu dipercayai sengaja dilakukan individu tertentu dengan niat mahu menjatuhkan reputasinya.

Pada sidang media khas berhubung isu itu, pegawai J-KOM yang dikaitkan dengan video tular itu, Abdul Wahab mendakwa dirinya dijadikan kambing hitam untuk menjatuhkan Mohammad Agus oleh individu bernama Mr H.

Abdul Wahab dilapor berkata, rakaman video perbualan itu yang tular di media sosial sejak Khamis lalu adalah palsu dan disunting pihak tidak bertanggungjawab.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini