Oleh: Nurul Amalina Zainudin
KUALA LUMPUR: Inisiatif subsidi bersasar yang dilihat berupaya mengukuhkan kedudukan kewangan kerajaan disambut baik Yang Di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.
Bagaimanapun baginda menitahkan agar inisiatif itu diagihkan dengan cekap dan berkesan kepada golongan yang betul-betul layak sahaja.
Terdahulu, baginda mengucapkan syabas kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kerajaan atas prestasi ekonomi negara yang membanggakan.
“Saya bersyukur melihat perkembangan ekonomi, termasuk prestasi ekonomi domestik dan pelaburan negara yang semakin bertambah baik, nilai ringgit kembali kukuh dan kadar pengangguran kekal rendah,” titah baginda.
Tahun lalu, pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) mencapai 5.9 peratus dalam pelbagai sektor, dan jumlah perdagangan negara melepasi angka RM2 trilion untuk tempoh sembilan bulan yang pertama.
Titah baginda, kerajaan perlu menentukan prestasi baik ini membawa kemakmuran kepada seluruh rakyat, dan bukan hanya memberi keuntungan kepada golongan tertentu sahaja.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.