Oleh: Fazli Ahmad
KUANTAN: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, bertitah pihak bertanggungjawab perlu mengatasi masalah kesesakan lalu lintas di seluruh negara kerana isu itu semakin membimbangkan.
Titah baginda masalah itu berlaku di bandar besar dan isu perlu diatasi segera termasuk mengkaji kaedah baharu untuk ditangani.
“Saya harap lebih banyak lagi jalan-jalan penyuraian trafik atau lencongan dibina,”
“Saya perhatikan isu ini menjadi kebimbangan semua kerana masalah kesesakan amat ketara di bandar-bandar besar,”
“Saya harap pihak berwajib khususnya Kementerian Pengangkutan dapat mengkaji kaedah-kaedah baharu untuk menyelesaikan masalah itu,” titah baginda di Majlis Perasmian Pusat Pentadbiran Sultan Ahmad Shah, di KotaSAS, di sini, hari ini.
Hadir sama Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
Baginda berharap dengan wujud pusat pentadbiran baharu Kerajaan Pahang itu dapat mengurangkan sedikit masalah kesesakan di bandar raya Kuantan.
Pusat Pentadbiran baharu itu dibina dengan konsep ultra moden.
Baginda juga mengumumkan, Presiden Emiriah Arab Bersatu (UAE), Sheikh Mohamed bin Zayed Al Nahyan turut bersetuju membina sebuah masjid baharu di KotaSAS.