SEPANG: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah semalam berkenan meninjau persiapan terakhir penghantaran ketiga misi bantuan kemanusiaan Malaysia ke Palestin menerusi Ops Ihsan di Terminal Kargo Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Seri Paduka yang diiringi Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, meluangkan masa kira-kira sejam memeriksa bantuan berkenaan yang dikumpulkan di gudang penyimpanan di terminal berkenaan selain turut memeriksa bantuan yang dimasukkan ke dalam pesawat kargo sewaan khas untuk menghantar bantuan itu.
Wisma Putra menerusi kenyataan memaklumkan penghantaran itu membabitkan 60 tan muatan pelbagai barangan termasuk 35.57 tan barangan perubatan, 6.62 tan makanan sedia dimakan, 4.35 tan barangan keperluan bayi dan 13.46 tan persiapan musim sejuk termasuk tilam dan selimut.
Keseluruhan Malaysia sudah menghantar barangan bantuan mencecah 100 tan, selepas penghantaran pertama dan kedua masing-masing membabitkan barangan seberat 20 tan.
Pesawat khas berkenaan dijangka berlepas melalui KLIA awal pagi esok dan mendarat di Lapangan Terbang Tentera Al-Arish, Mesir pada hari sama.
“Bantuan berkenaan akan diserahkan kepada Persatuan Bulan Sabit Merah Mesir untuk disalur kepada penduduk Palestin di Gaza,” menurut kenyataan itu.
Wisma Putra turut memaklumkan kerjasama rentas antara agensi dan badan bukan kerajaan (NGO) itu bertujuan memastikan gerak atur proses bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin di Gaza lebih tersusun, bersepadu dan efektif di bawah seliaan kementerian itu.
Ahmad Zahid berkata Ops Ihsan telah membuktikan keberkesanan dalam pengurusannya melalui penggunaan sumber dan kepakaran pelbagai organisasi yang terlibat secara tersusun dan efisien.
“Kerjasama yang julung kali diadakan ini ternyata berhasil. Kolaborasi ini berjaya mengelakkan pertindihan mahupun penyelewengan bagi memastikan bantuan yang diberikan jelas memenuhi keperluan, dan benar-benar sampai kepada golongan yang disasarkan,” katanya.