
KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan menerima mengadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Bahrain hari ini.
Turut berangkat, Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah.
Pada pertemuan itu, Perdana Menteri mempersembahkan perkara-perkara berkaitan perkembangan semasa negara, selain bertanyakan khabar kesihatan Baginda.

Semalam, Istana Negara dalam satu kenyataan memaklumkan, Sultan Ibrahim selamat menjalani rawatan konservatif bagi kesakitan ‘musculoskeletal’ (otot dan tulang) di luar negara dan dijangka berangkat pulang ke tanah air Jumaat ini.
Menurut kenyataan itu lagi, kesakitan berkenaan berlaku akibat latihan ketenteraan intensif dan gaya hidup aktif Baginda yang gemar bersukan sewaktu muda, terutama bermain polo.

Sultan Ibrahim bersama Raja Permaisuri Agong turut menzahirkan penghargaan tulus ikhlas kepada seluruh rakyat yang telah mengadakan solat hajat dan tidak putus-putus menitipkan doa untuk kesihatan Baginda.
Datuk Seri Anwar kini berada di Bahrain untuk lawatan rasmi atas jemputan Putera Mahkota dan Perdana Menteri Bahrain, Salman Hamad Al Khalifa.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.