MADINAH: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan berangkat menziarahi makam dan Raudhah Nabi Muhammad S.A.W. di Masjid Nabawi, Madinah, semalam.
Menurut laman Facebook Istana Negara, Baginda berdua turut berkenan menunaikan solat fardu Maghrib dan Isya’ serta solat sunat di perkarangan makam Rasulullah S.A.W.
Turut berangkat sama, Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.
Selesai solat Isya’, Baginda berdua bersama Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin membaca doa salam dan selawat kepada junjungan Nabi Muhammad S.A.W.
Ia disusuli dengan keberangkatan ke Raudhah Nabi Muhammad S.A.W untuk menunaikan solat sunat.
Al-Sultan Abdullah serta delegasi dijadual berangkat ke Kota Suci Mekah hari ini untuk menunaikan ibadah haji.