comscore
Tumpuan :
Nasional

Agong, Raja Permaisuri zahir takziah kepada keluarga Awang Askandar

FOTO: Istana Negara/Facebook

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Kedah, Leftenan Kolonel (PA) Awang Askandar Ampuan Yaacub yang meninggal dunia ketika menyertai Misi Pendakian Gunung Everest, baru-baru ini.

Istana Negara menerusi hantaran di akaun Facebook rasmi hari ini menyatakan Seri Paduka berdua menzahirkan rasa dukacita atas pemergian Allahyarham serta berharap keluarga Allahyarham sabar dan tabah menghadapi dugaan serta suasana sedih dan pilu ini.

“Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan dalam kalangan mereka yang beriman dan beramal soleh,” menurut hantaran itu.

Para pendaki gunung juga dinasihatkan agar sentiasa menitikberatkan aspek keselamatan dan mengambil langkah sewajarnya setiap kali melakukan misi pendakian gunung.

Jumaat lalu, media melaporkan Awang Askandar meninggal dunia selepas berdepan masalah kesihatan ketika berada pada jarak 8,000 meter dari aras laut ketika menyertai program Malaysia Everest 2023 (ME 2023).

Loading...
Terkini