KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin atas pemergian isterinya, Toh Puan Mahani Idris, semalam.
Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah turut menzahirkan ucapan takziah.
“Seri Paduka berdua turut menzahirkan rasa sedih dengan pemergian Mahani dan menzahirkan harapan supaya seluruh keluarga Allahyarhamah sabar serta tabah menghadapi dugaan serta suasana sedih dan pilu ini,” menurut hantaran di Facebook Istana Negara hari ini.
Seri Paduka berdua juga mendoakan roh Allahyarhamah dicucuri rahmat oleh Allah SWT serta ditempatkan dalam kalangan mereka yang beriman dan beramal soleh. – BERNAMA