BANDAR SERI BEGAWAN: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berangkat tiba di Bandar Seri Begawan bagi memulakan lawatan negara ke Brunei selama tiga hari bermula, hari ini.
Pesawat khas yang membawa Baginda bersama Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei di sini pada 11.25 pagi dan diberi sambutan hamparan permaidani merah.
Turut mengiringi Seri Paduka Baginda berdua, Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar Sultan Ibrahim.
Keberangkatan tiba Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong disambut oleh Putera Mahkota Brunei, Pengiran Muda Mahkota Al-Muhtadee Billah Sultan Hassanal Bolkiah dan isteri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah.
Turut menyambut keberangkatan tiba Sultan Ibrahim dan Raja Zarith Sofiah ialah Pengiran Muda Abdul Malik dan Pengiran Anak Isteri Pengiran Raabi’atul Adawiyyah selaku Kerabat Diraja Pengiring, dan Pengiran Muda ‘Abdul Mateen Bolkiah.
Selain Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Brunei Datuk Mohd Aini Atan, turut hadir menyertai sambutan ketibaan ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan II Brunei Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (Bersara) Datuk Paduka Seri Awang Halbi Mohd Yussof sebagai Menteri Pengiring; Menteri Hal Ehwal Luar Negeri II Brunei, Datuk Seri Setia Erywan Yusof dan Menteri Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan Brunei, Datuk Seri Setia Abdul Manaf Metussin.
Mengiringi Yang di-Pertuan Agong dalam lawatan itu ialah Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir; Ketua Setiausaha Kementerian Luar, Datuk Seri Amran Mohamed Zin serta pegawai-pegawai kanan dari Istana Negara, kementerian dan agensi berkaitan.
Yang di-Pertuan Agong kemudian berkenan melintasi barisan kawalan kehormatan oleh 26 anggota Rejimen Pengawal Diraja, Tentera Darat Diraja Brunei sebelum berangkat ke hotel penginapan di Bandar Seri Begawan.
Memulakan lawatan, Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong akan berangkat ke Majlis Santap Petang bersama rakyat Malaysia di Brunei petang ini.
Esok, Seri Paduka Baginda berdua akan diberi sambutan negara di Istana Nurul Iman di sini, disusuli Kunjungan Menghadap ke atas Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah dan isteri Pengiran Raja Isteri Pengiran Anak Saleha di Cheradi Laila Kenchana, Istana Nurul Iman.
Pada sebelah petang, Raja Permaisuri Agong dijadualkan berangkat melawat Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) untuk menyempurnakan perasmian Sudut Penerbitan Malaysia yang mempamerkan penerbitan penyelidikan bersama antara Brunei dan Malaysia.
Sultan Hassanal Bolkiah juga berkenan mengadakan Majlis Santapan Negara bagi meraikan Sultan Ibrahim dan Raja Zarith Sofiah di Dewan Persantapan Diraja, Istana Nurul Iman.
Lawatan negara pertama Seri Paduka Baginda ke Brunei sejak menaiki takhta pada 31 Januari lalu adalah bagi memenuhi persilaan Sultan Hassanal Bolkiah.
Kunjungan yang dilihat signifikan dengan ulang tahun ke-40 penubuhan hubungan diplomatik antara Malaysia dan Brunei itu akan terus mengukuhkan lagi hubungan erat dan istimewa antara kedua-dua negara yang ditunjangi oleh institusi Kesultanan Melayu, agama, budaya serta ikatan kekeluargaan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.