Tumpuan :
Nasional

Agong, Raja Permaisuri adakan lawatan negara ke Brunei selama 3 hari bermula esok

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah berkenan mengadakan lawatan negara ke Brunei bermula esok hingga Selasa ini (15 Oktober).

Wisma Putra dalam kenyataan hari ini memaklumkan, kunjungan selama tiga hari itu adalah lawatan negara pertama Seri Paduka Baginda ke Brunei sejak menaiki takhta pada 31 Januari lalu.

“Lawatan negara ini akan terus mengukuhkan lagi hubungan erat dan istimewa antara Malaysia dan Brunei yang telah lama terjalin ditunjangi oleh institusi Kesultanan Melayu, agama, budaya, serta ikatan kekeluargaan.

“Ianya juga dilihat signifikan dengan ulang tahun ke-40 penubuhan hubungan diplomatik antara Malaysia dan Brunei,” menurut kenyataan itu.

Keberangkatan Seri Paduka Baginda akan diiringi Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar Sultan Ibrahim; Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abd Kadir dan Ketua Setiausaha Kementerian Luar, Datuk Seri Amran Mohamed Zin serta pegawai Istana Negara, kementerian dan agensi berkaitan.

Mengulas lanjut, Wisma Putra menyatakan, Seri Paduka Baginda berdua akan diraikan dalam Majlis Sambutan Negara di Istana Nurul Iman, disusuli kunjungan menghadap ke atas Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah dan Raja Isteri Pengiran Anak Saleha.

“Sultan Hassanal Bolkiah juga berkenan mengadakan Majlis Santapan Negara bagi meraikan Sultan Ibrahim dan Raja Zarith Sofiah. Seri Paduka Baginda dan Raja Permaisuri Agong juga dijadualkan menghadiri sesi ramah mesra dengan komuniti Malaysia di Bandar Seri Begawan.

“Raja Permaisuri Agong juga akan mengadakan lawatan ke Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) dan merasmikan Sudut Penerbitan Malaysia yang mempamerkan penerbitan penyelidikan bersama antara Brunei dan Malaysia,” menurut kenyataan itu.

Pada 2023, Brunei menjadi rakan dagang ke-30 terbesar Malaysia dan rakan dagang keenam terbesar dalam kalangan negara anggota ASEAN dengan dagangan berjumlah RM9.31 bilion (AS$2.04 bilion).

Bagi tempoh dari Januari hingga Julai 2024, jumlah dagangan antara kedua-dua negara adalah sebanyak RM5.48 bilion (AS$1.16 bilion).

Brunei adalah negara ketiga yang dikunjungi Sultan Ibrahim untuk lawatan negara, selepas Singapura pada 6 Mei lalu dan China pada 19 September lalu sejak menaiki takhta sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini