
PETALING JAYA: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga pengasas dan pengusaha restoran Tukdin Flavours of Malaysia di London, United Kingdom, Allahyarham Zainuddin Yahya yang meninggal dunia, semalam.
Menerusi catatan di laman facebook Istana Negara, Seri Paduka Baginda berdua turut menzahirkan rasa sedih dengan pemergian Allahyarham dan berharap seluruh keluarga Allahyarham sabar serta tabah menghadapi dugaan ini.
Seri Paduka Baginda berdua mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan dalam kalangan mereka yang beriman dan beramal soleh.
Zainuddin yang telah menetap lebih 40 tahun di London mengusahakan restoran Tukdin Flavours of Malaysia sejak lebih 13 tahun lalu dengan hidangan Malaysia menjadi inspirasi utama restoran berkenaan.
Restoran Allahyarham sangat popular dan sering dikunjungi selebriti dunia, malah menjadi pilihan orang kenamaan, rakyat dan pelajar Malaysia di London.