PETALING JAYA : Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga bekas Pengerusi dan Pengasas bersama AirAsia Bhd, Datuk Pahamin A Rajab yang meninggal dunia ketika dalam penerbangan ke London, United Kingdom semalam.
Turut menzahirkan ucapan sama, Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
Menerusi catatan di Facebook Istana Negara, Seri Paduka Baginda berdua menzahirkan rasa dukacita dengan pemergian Allahyarham dan menzahirkan harapan agar seluruh keluarga beliau sabar dan tabah menghadapi dugaan serta suasana sedih dan pilu ini.
“Seri Paduka Baginda berdua turut mendoakan roh Allahyarham dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan dalam kalangan mereka yang beriman dan beramal soleh.
”Seri Paduka Baginda berdua menghargai jasa, khidmat dan bakti Allahyarham kepada negara,”.
Pahamin, 77, dilaporkan meninggal dunia akibat serangan jantung .
Beliau sebelum ini pernah berkhidmat sebagai Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna dari 1998 hingga 2001 dan sebelum itu sebagai Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) pada 1974 hingga 1998.