comscore
Tumpuan :
Nasional

Agong, Permaisuri ucap takziah kepada keluarga anggota RELA

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga anggota Angkatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Muhammad Noh Muhammad Isa yang meninggal dunia semalam.

Turut menzahirkan ucapan takziah ialah Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Menurut catatan di laman Facebook Istana Negara, baginda berdua menzahirkan rasa dukacita dengan pemergian Allahyarham dan menzahirkan harapan seluruh keluarga Allahyarham sabar serta tabah menghadapi dugaan serta suasana sedih dan pilu ini.

“Baginda berdua mendoakan roh Allahyarham dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan dalam kalangan mereka yang beriman dan beramal soleh,” menurut catatan itu.

Allahyarham adalah ketua kontinjen RELA Negeri Sembilan dan dilapor rebah dipercayai akibat serangan jantung ketika melintasi pentas utama di Dataran Majlis Bandaraya Seremban sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-66 peringkat Negeri Sembilan.

Muhammad Noh, 53, yang dikejarkan ke Hospital Tuanku Ja’afar, Negeri Sembilan disahkan meninggal dunia oleh pihak hospital. – BERNAMA

Loading...
Terkini