Tumpuan :
Nasional

Agong, Permaisuri serah Rumah Asnaf di Labuan

Foto: Facebook Istana Negara

LABUAN: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, hari ini berkenan menyerahkan Rumah Asnaf Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) kepada kumpulan asnaf di pulau bebas cukai ini.

Penyerahan 140 unit kondominium Ganggarak Permai 14 tingkat di bawah skim bantuan perumahan MAIWP  membabitkan peruntukan RM30.6 juta.

Foto: Facebook Istana Negara

Ia adalah inisiatif pertama seumpamanya dilaksanakan di tiga Wilayah Persekutuan iaitu Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.

MAIWP turut menambah peruntukan RM3.2 juta untuk peralatan keperluan rumah, deposit bil air dan elektrik, jeriji keselamatan dan kabinet dapur.

Foto: Facebook Istana Negara

Rumah Asnaf di Ganggarak Permai  dilengkapi masjid, taman permainan kanak-kanak dan dewan serba guna.

Sementara itu, Pengerusi MAIWP, Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar, berkata inisiatif Rumah Asnaf itu dapat mewujudkan ekosistem bernilai yang mampu menguruskan wang zakat untuk skim bantuan perumahan MAIWP dengan berkesan.

Foto: Facebook Istana Negara

Beliau berkata, inisiatif Rumah Asnaf ialah model bagus yang boleh diperluas ke Putrajaya dan Kuala Lumpur bagi memanfaatkan kumpulan asnaf di Wilayah Persekutuan berkenaan.

“Peringkat kedua selepas penyerahan Rumah Asnaf ini, kami akan melihat tanah sesuai di Labuan dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan Perbadanan Labuan untuk pembinaan perkampungan asnaf,” katanya.

Foto: Facebook Istana Negara

Program Rumah Asnaf akan membolehkan penerima 140 unit kondominium tinggal di sana tanpa perlu membayar sewa bulanan.

MAIWP adalah pemilik asal semua unit itu dan ia boleh digunakan untuk kumpulan asnaf yang lain pada masa depan. – BERNAMA

Loading...
Terkini