Oleh: Safwan Sawi
PENAMPANG: Persatuan Kebudayaan Kadazan Dusun (KDCA) di sini yang terkenal dengan acara sambutan Pesta Kaamatan oleh masyarakat Kadazan Dusun Murut Rungus (KDMR), menjadi destinasi persinggahan kelima konvoi Kembara Kenali Borneo hari ini.
Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah serta rombongan berkenan ke KDCA bagi menghadiri Majlis Santapan Pagi Bersama Rakyat.
Ia sekaligus menjadi sejarah tersendiri KDCA dan istimewa buat warga KDMR yang buat julung kali dikunjungi Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong.
Cuaca cerah hari ini melancarkan keberangkatan tiba Seri Paduka serta rombongan yang menerima sambutan hangat masyarakat yang menunggu di sepanjang bahu jalan untuk melihat lebih dekat pasangan diraja, selain merakamkan gambar dan video.
Ketibaan Seri Paduka disambut Huguan Siou, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan dan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Malaysia merangkap Ahli Parlimen Penampang, Datuk Ewon Benedick.
Seri Paduka berdua berkenan bersantap di ‘Hamin’ (Rumah) Penampang dengan warga KDMR dengan juadah tradisi tempatan antaranya ‘Nanggiu’ (bubur sagu) dan ‘Hinompuka’ (lepat tepung beras pulut hitam).
Seusai bersantap, Seri Paduka berdua seterusnya menjelajah sekitar Perkampungan Budaya KDCA antaranya Rumah Kota Belud, Rumah Kraftangan dan Rumah Budaya Etnik.
Beberapa acara permainan tradisi KDMR turut dipersembahkan dan disertai sendiri Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah antarnya ‘Monopuk’ (menyumpit) dan ‘Momolastik’ (melastik).
Seri Paduka berdua turut disajikan dengan pelbagai persembahan nyanyian dan tarian tradisi etnik KDMR termasuk ‘Sumazau’ iaitu antara tarian tradisi popular di Sabah yang sinonim dengan masyarakat suku kaum Kadazan Dusun.
Selesai acara di KDCA, Al-Sultan Abdullah seterusnya dijadual berangkat ke daerah Sipitang bagi Majlis Santapan Tengah Hari di Masjid Sahabat Sindumin.
Ia menjadi destinasi terakhir di Sabah sebelum berangkat ke Brunei Darusslam seterusnya ke Sarawak.
Seri Paduka berdua kini berangkat melakukan perjalanan sejauh 2,154 kilometer Kembara Kenali Borneo sejak 3 hingga 13 September ini bermula di Tawau dan berakhir di Telok Melano, Sarawak merentasi Lebuhraya Pan Borneo.