Oleh: Syafiqah Damanhuri, Fahiz Ariff
PETALING JAYA: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, berkenan berangkat mengadakan kunjungan diraja ke Sri Pentas Bandar Utama, hari ini.
Keberangkatan tiba baginda yang diiringi Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah disambut pengurusan kanan Media Prima Berhad (MPB) sebaik tiba kira-kira jam 10:20 pagi.
Hadir sama Pengerusi Kumpulan Media Prima, Datuk Seri Dr Syed Hussian Aljunid, Pengarah Urusan Kumpulan Media Prima, Rafiq Razali, Ketua Pegawai Operasi Media Prima Omnia, Datuk Mohd Efendi Omar dan Ketua Pegawai Eksekutif Media Prima Television Networks (MPTN) dan Primeworks Studios, Nini Yusof.
Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah beramah mesra dengan kakitangan Media Prima Berhad yang turut menyambut ketibaan baginda berdua.
Baginda berdua juga berkenan meluangkan masa dalam sesi fotografi bersama pengurusan kanan Media Prima, sebelum menerima cendera kenangan berupa ‘Royal Excess Tonton’ dan bingkai keratan berita mengenai aktiviti baginda berdua yang disiarkan di akhbar Harian Metro dan Berita Harian (BH) sebagai tanda penghargaan.
Dalam lawatan berkenaan, Baginda berdua turut diberikan taklimat berkaitan operasi Media Prima dan dibawa melihat Konti Radio, Media Prima Audio yang menempatkan rangkaian Hot FM, Kool 101, Molek Fm, Fly Fm dan Eight Fm.
Selain dibawa ke Bilik Berita Media Prima yang menempatkan studio program berita terbitan TV3, TV9 dan 8TV.
Dalam pada itu, kunjungan lebih bermakna apabila Baginda berdua turut mencemar duli menerima undangan istimewa daripada Bilik Berita Media Prima untuk menyampaikan berita.
Slot khas Buletin Diraja itu akan disiarkan secara ekslusif di Buletin Utama, malam ini.