comscore
Tumpuan :
Nasional

Agong, Permaisuri berangkat ke sambutan Hari Pahlawan 2024

FOTO: Sultan Ibrahim Sultan Iskandar/Facebook

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah hari ini berkenan berangkat ke Istiadat Perbarisan sempena sambutan Hari Pahlawan 2024 di Dataran Pahlawan di sini.

Istiadat sambutan yang dinaungi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) itu berkonsepkan perbarisan statik melibatkan empat detasemen.

Ia terdiri daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), ATM, Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) dan Persatuan Bekas Polis Malaysia (PBPM).

Perbarisan pada tahun ini diketuai Lt Kol Abang Raduan Abang Madihi daripada Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) melibatkan 17 pegawai dan 683 anggota lain-lain pangkat daripada PDRM dan ATM.

Istiadat Perbarisan Sambutan Hari Pahlawan dimulakan dengan persembahan lagu Negaraku, diiringi 21 das tembakan meriam yang disempurnakan Mej Hafizan Mat Ghani daripada 41 Bateri Rejimen Artileri Diraja (Istiadat).

Sultan Ibrahim kemudian memeriksa kawalan kehormatan utama Istiadat.

Acara diteruskan dengan tiupan ‘Paluan Akhir’ diikuti penurunan Jalur Gemilang.

Kemuncak acara adalah persembahan pantomim khas bertajuk “Op Subuh – Tragedi Bukit Jenalik, Sauk” yang menyingkap kembali sorotan pengorbanan wira negara dalam menjaga kedaulatan serta keamanan negara pada 6 Julai 2000.

Op Subuh buat pertama kalinya menampilkan penglibatan perwira daripada ATM dan PDRM di dalam satu operasi yang sama.

FOTO: Sultan Ibrahim Sultan Iskandar/Facebook

Op Subuh buat pertama kalinya menampilkan penglibatan perwira daripada ATM dan PDRM di dalam satu operasi yang sama.

Op Subuh menceritakan tentang insiden pertempuran antara pasukan keselamatan negara dengan sekumpulan individu yang menggelarkan diri mereka Al-Maunah di Bukit Jenalik, Sauk di Perak, yang merancang untuk menggulingkan kerajaan pada Julai 2000.

Pantomim dijayakan pelakon terdiri daripada anggota ATM, PDRM dan beberapa waris kepada wira negara yang terkorban.

Turut dilaksanakan dalam pantomim tersebut adalah bacaan sajak ‘Jenalik Berdarah’ yang disampaikan Sarjan Siti Nur Aini binti Jasni dari ATM dan Inspektor Muhammad Faizul bin Mustafa dari PDRM.

Acara diteruskan dengan tiupan ‘Paluan Fajar’ yang mana Jalur Gemilang dikibarkan sebagai tanda memberi semarak kepada pahlawan untuk terus bangkit berjuang dalam mempertahankan kedaulatan serta keamanan negara.

Istiadat Perbarisan Hari Pahlawan juga dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof; Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Hadir sama, Panglima Angkatan Tentera, Jen Tan Sri Mohammad Ab Rahman dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain.

Istiadat sambutan turut disiarkan secara rasmi di stesen televisyen milik kerajaan dan laman Facebook Jabatan Perdana Menteri (JPM).

Hari Pahlawan dahulunya dikenali sebagai Hari Peringatan atau ‘Rememberance Day’ yang juga dikenali sebagai ‘Poppy Day’ dan disambut di Negara-Negara Komanwel semenjak berakhir Perang Dunia Pertama.

Ia bagi memperingati anggota angkatan bersenjata yang gugur ketika berkhidmat.

Malaysia telah mengisytihar Hari Pahlawan pada tanggal 31 Julai 1960 sempena tamatnya darurat pada tarikh tersebut.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini