comscore
Tumpuan :
Nasional

Agong, Permaisuri berangkat ke Brunei untuk lawatan negara

FOTO: Sultan Ibrahim Sultan Iskandar / Facebook

SUBANG: Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah berangkat ke Brunei pagi ini untuk lawatan negara selama tiga hari bermula hari ini hingga 15 Oktober.

Ia merupakan lawatan pertama Seri Paduka Baginda ke Brunei selepas menaiki takhta  pada 31 Jan lepas bagi memenuhi persilaan Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah.

Pesawat khas yang membawa Seri Paduka Baginda berdua berlepas dari Pangkalan Udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang di sini pada jam 9.30 pagi.

Turut mengiringi Seri Paduka Baginda berdua ialah Tunku Temenggong Johor Tunku Idris Iskandar Sultan Ibrahim bersama 13 pegawai pengiring.

Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul, Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, Menteri Pelancongan Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar hadir mengucapkan selamat berangkat kepada Seri Paduka Baginda berdua.

Sebelum berangkat, Sultan Ibrahim berkenan menerima Hormat Diraja daripada Batalion 1 Rejimen Askar Melayu Diraja terdiri daripada empat pegawai dan 103 anggota sebelum lagu Negaraku dimainkan diiringi tembakan meriam 21 das.

Lawatan Seri Paduka Baginda akan terus mengukuhkan lagi hubungan erat dan istimewa antara Malaysia dan Brunei yang ditunjangi oleh institusi Kesultanan Melayu, agama, budaya serta ikatan kekeluargaan.

Sultan Ibrahim dan Raja Zarith Sofiah akan menerima sambutan negara di Istana Nurul Iman disusuli dengan kunjungan menghadap ke atas Sultan Hassanal Bolkiah dan isteri Pengiran Raja Isteri Pengiran Anak Saleha.

FOTO: Sultan Ibrahim Sultan Iskandar / Facebook

Pada lawatan itu juga, Seri Paduka Baginda dan Raja Permaisuri Agong turut dijadualkan bertemu dengan komuniti Malaysia di Brunei di Bandar Seri Begawan.

Raja Permaisuri Agong turut berkenan mengadakan lawatan ke Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) dan merasmikan Sudut Penerbitan Malaysia yang mempamerkan penerbitan penyelidikan bersama antara Brunei dan Malaysia.

Lawatan juga bersempena dengan ulang tahun ke-40 hubungan diplomatik antara Malaysia dan Brunei.- BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini