comscore
Tumpuan :
Nasional

Agong Perkenan Pemasyhuran Tengku Permaisuri Selangor Sebagai Pro-Canselor UiTM Baharu

Pemasyhuran Tengku Permaisuri Norashikin sebagai Pro-Canselor UiTM yang baharu bagi tempoh 18 Oktober 2021 hingga 17 Oktober 2024 diadakan sempena Istiadat Konvokesyen UiTM ke-93 di Dewan Agung Tuanku Canselor UiTM, Shah Alam hari ini. 

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang juga Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM) hari ini berkenan mewasalkan pemasyhuran Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin sebagai Pro-Canselor UiTM yang baharu. 

Pemasyhuran Tengku Permaisuri Norashikin sebagai Pro-Canselor UiTM yang baharu bagi tempoh 18 Oktober 2021 hingga 17 Oktober 2024 diadakan sempena Istiadat Konvokesyen UiTM ke-93 di Dewan Agung Tuanku Canselor UiTM, Shah Alam hari ini. 

Turut berangkat Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah. 

Hadir sama Naib Canselor UiTM Prof Datuk Dr Roziah Mohd Janor. 

Sementara itu, Al-Sultan Abdullah dalam titahnya menzahirkan rasa bertuah dan berbesar hati untuk menyempurnakan pemasyhuran Tengku Permaisuri Norashikin sebagai Pro-Canselor UiTM yang baharu.  

Titah baginda pemasyhuran itu amat bertepatan kerana UiTM sebuah universiti yang mempunyai nilai warisan sejarah yang sarat ikatan pertalian dengan Selangor.

“Semoga dengan pemasyhuran ini akan membuka lembaran baharu bagi UiTM untuk terus dimartabatkan sebagai institusi pengajian awam yang unggul di negara,” titah baginda.

Istiadat Konvokesyen UiTM ke-93 (Nov 2020) kali ini berlangsung secara bersemuka bermula hari ini hingga 6 Julai menyaksikan seramai 27,287 graduan akan menerima sijil penganugerahan ijazah dan diploma dalam bidang masing-masing. 

Daripada jumlah itu, seramai 169 graduan akan menerima Ijazah Doktor Falsafah; 1,243 Ijazah Sarjana; 62 Profesional; 163 Diploma Lepasan Ijazah; 9,024 Ijazah Sarjana Muda dan 16,626 graduan menerima Diploma. – BERNAMA

Loading...
Terkini