SINGAPURA: Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim hari ini berkenan melawat Parlimen Singapura bersempena dengan lawatan negara selama dua hari ke republik berkenaan.
Sultan Ibrahim diiringi dua Menteri Pengiring iaitu Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook dan Menteri Luar Singapura Dr Vivian Balakrishnan serta delegasi Malaysia, tiba pada 11.15 pagi.
Seri Paduka Baginda disambut oleh Speaker Parlimen Seah Kian Peng yang kemudiannya mengiringi Sultan Ibrahim melawat kamar Parlimen.
Yang di-Pertuan Agong juga meluangkan kira-kira lima minit menyaksikan sesi sidang Parlimen dari Galeri Speaker yang terletak di dalam kamar Parlimen, berhadapan dengan kerusi Speaker.
Keberangkatan Sultan Ibrahim disambut oleh Ahli-ahli Parlimen dengan tradisi mengetuk permukaan tempat rehat tangan kerusi masing-masing.
Terdahulu, Seri Paduka Baginda menerima menghadap Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan Singapura Lawrence Wong pada 9 pagi di sebuah hotel di sini dalam sesi yang berlangsung selama satu jam.
Pertemuan itu diadakan pada masa yang signifikan ketika Wong dijadualkan mengangkat sumpah selaku Perdana Menteri Singapura baharu pada 15 Mei ini bagi menggantikan Lee Hsien Loong yang akan melepaskan jawatannya pada tarikh sama.
Pada masa sama, Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah turut berangkat melawat KK Women’s and Children’s Hospital dan meluangkan kira-kira satu jam di hospital berkenaan.
Sebelum berangkat pulang ke Malaysia, Seri Paduka Baginda berdua yang tiba di republik itu semalam, dijadualkan melihat perkembangan projek stesen Projek Rapid Transit System Link (RTS Link).
RTS Link ialah projek laluan kereta api ulang alik sepanjang kira-kira empat kilometer dengan dua stesen, masing-masing di Bukit Chagar, Johor Bahru dan Woodlands North, Singapura.
Pada 22 Nov 2020, Sultan Ibrahim berkenan merasmikan Majlis Pecah Tanah projek berkenaan.
Lawatan Negara itu adalah yang pertama sejak Seri Paduka Baginda menaiki takhta pada 31 Jan lepas, dan atas jemputan Presiden Singapura Tharman Shanmugaratnam. – BERNAMA
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.