comscore
Tumpuan :
Nasional

Agong kurnia gelaran Tun kepada Putera Mahkota Abu Dhabi

Oleh Syafiqah Damanhuri

KUALA LUMPUR : Yang di Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menerima menghadap Putera Mahkota Abu Dhabi, Sheikh Khaled Mohamed Zayed Al Nahyan ke Istana Negara pagi tadi.

Dalam pertemuan itu, Al Sultan Abdullah juga berkenan untuk mengurniakan darjah kebesaran Seri Maharaja Mangku Negara (S.M.N) yang membawa gelaran ‘Tun’ kepada baginda Putera Mahkota.

Pada sesi menghadap itu, baginda juga dikurniakan darjah kerabat Sri Indera Mahkota Pahang Yang Amat Dihormati (DK) (II) yang lazimnya dianugerahkan khas kepada kerabat Diraja, Raja Pemerintah atau Ketua Negara asing yang diperkenankan Seri Paduka.

Seri Paduka turut berkenan menamakan dua spesies orkid hibrid yang berwarna putih kekuningan iaitu ‘Papilionanda Sheikh Mohamed’ dan satu lagi orkid berwarna merah jambu dan putih ‘Dendrobium Sheikha Fatima’ pada pertemuan itu sebagai satu simbolik persahabatan dan hubungan baik luar biasa antara Presiden UAE, Sheikh Mohamed Zayed Al Nahyan dan Yang di-Pertuan Agong.

Sheikh Khaled Mohamad dalam rangka lawatan sulung baginda ke Malaysia sejak ditabal sebagai Putera Mahkota Abu Dhabi dan dilantik sebagai Pengerusi Majlis Eksekutif Abu Dhabi pada 29 Mac lepas.

Lawatan khas baginda dijangka mengukuhkan lagi keakraban antara Malaysia dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang telah dinaik taraf kepada Perkongsian Strategik pada 27 Sept 2022.

Turut berangkat dalam istiadat sama, Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah.

Hadir sama, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dan Menteri Luar, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir.

Loading...
Terkini