
LUMUT: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim mengurniakan sebuah bot pemintas berteknologi tinggi dinamakan sebagai Ibrahim Class IC 1170cc kepada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
Cawangan Komunikasi Strategik Markas Pemerintahan Armada Barat Lumut menerusi kenyataan berkata, bot berkenaan yang dibangunkan oleh Royal Boat Hangar Johor itu direka khas sebagai bot pemintas berkelajuan tinggi yang mampu beroperasi dalam perairan tropika.
Menurutnya, ia diperbuat daripada aluminium marin berkualiti tinggi dan mempunyai ciri-ciri reka bentuk yang menekankan ketahanan serta kestabilan.
“TLDM dengan penuh rasa syukur menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Sultan Ibrahim atas kurniaan bot pemintas berteknologi tinggi itu.
“Kurniaan ini bukan sahaja memperkukuhkan keupayaan operasi TLDM, malah turut menjadi simbol keprihatinan Sultan Ibrahim terhadap keselamatan perairan negara,” menurut kenyataan itu hari ini.
Dengan panjang keseluruhan 12.60 meter dan lebar maksimum 3.50 meter, bot berkenaan dikuasakan oleh tiga enjin Mercury OBM berkapasiti 400 kuasa kuda setiap satu.
Ia membolehkan kelajuan maksimum dicapai sehingga 65 batu nautika sejam (knot) manakala kelajuan pelayaran optimum adalah 45 knot.
Menurut kenyataan itu, bot berkenaan turut dilengkapi dengan sistem navigasi yang komprehensif, komunikasi moden serta sistem radio yang canggih bagi memastikan pengendalian bot adalah mudah dan efektif dalam melaksanakan operasi.
“Bot ini turut didatangkan bersama trailer aluminium bagi memudahkan pemindahan ke lokasi yang diperlukan. Sistem ini membolehkan bot diturun dan dinaikkan dengan pantas mengikut keperluan operasi, sekali gus meningkatkan tahap kesiapsiagaan pasukan dalam menghadapi sebarang ancaman di perairan negara,” menurutnya.
Majlis penyerahan bot disempurnakan Panglima Armada Barat, Laksamana Madya Azuwan Harun di pekarangan Markas Pemerintahan Armada Barat.
Majlis bersejarah itu juga disulami dengan acara menandatangani sijil penyerahan bot antara TLDM dan Royal Boat Hangar Johor yang diwakili oleh Mohamad Yuni Ismail.
Bot itu akan ditempatkan di bawah naungan Markas Pemerintahan Armada Barat dan akan dimanfaatkan sepenuhnya oleh TLDM untuk mempertingkatkan keupayaan rondaan persisiran dan seumpamanya.
“Selain TLDM, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia turut menerima bot yang sama, sekali gus menandakan satu langkah penting dalam usaha meningkatkan keupayaan pertahanan maritim negara,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.