comscore
Tumpuan :
Nasional

Agong Ingatkan Pemimpin Tetap Niat Yang Betul, Jujur Galas Amanah

 

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan supaya setiap apa yang dilakukan pemimpin perlulah dibuat semata-mata atas dasar untuk menjaga kemaslahatan ummah.

Menurut Al-Sultan Abdullah, gesaan itu selaras dengan konsep pemerintahan dalam Islam yang berteraskan amanah, dengan pemimpin perlu mencontohi aspek kepemimpinan yang diajar Rasulullah SAW.

“Baginda mengajar setiap pemimpin untuk pertamanya, menetapkan niat yang betul. Setelah itu, berlaku jujur dalam menjalankan amanah dan meletakkan nilai ketakwaan kepada Allah sebagai pegangan utama.

“Konsep pemerintahan yang dituntut Islam adalah satu amanah, yang sentiasa berada dalam ruang lingkup ikatan perjanjian di antara manusia dengan pencipta-Nya.

“Maka, setiap apa yang dilakukan oleh pemimpin hendaklah dibuat semata-mata atas dasar untuk menjaga kemaslahatan ummah,” titah baginda pada majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia (WTC), di sini hari ini.

Yang turut berangkat, Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Hadir sama, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan isteri, Datin Seri Muhaini Zainal Abidin serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad.

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menyampaikan titah ucapan pada Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan, hari ini. Turut kelihatan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad.

Pada masa sama, Yang di-Pertuan Agong menekankan kepentingan mewujud dan menjaga hubungan erat di antara pemimpin dan masyarakat, selaras ajaran Nabi Muhammad SAW.

“Rasulullah menuntut hubungan yang erat di antara pemimpin dan masyarakat, yang berasaskan kepada sikap sayang-menyayangi dan hormat-menghormati antara satu dengan yang lain,” titah baginda.

Sempena sambutan Maulidur Rasul, Al-Sultan Abdullah turut meminta umat Islam menyelami ajaran Islam yang dibawa Rasulullah SAW yang tidak hanya berkonsepkan teologi dan spiritual semata-mata.

Menurut baginda, Islam yang dibawa Nabi Muhammad SAW memandu penganutnya dalam pelbagai aspek kehidupan, merangkumi konsep berasaskan tadbir urus yang baik, politik, ekonomi, keselamatan dan keadilan. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini