comscore
Tumpuan :
Nasional

Agong gesa kerajaan sediakan pusat rujukan agama

FOTO: Sultan Ibrahim Sultan Iskandar/ Facebook

Oleh: Zulfakhri Shamsul Ariffin

PUTRAJAYA: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim menggesa kerajaan untuk menyediakan satu pusat rujukan agama untuk menyebarkan ilmu dan maklumat yang tepat

Baginda turut bertitah untuk kerajaan meningkatkan tindakan penguatkuasaan terhadap kandungan ajaran sesat.

“Pada hari ini, kita berdepan dengan cabaran kebanjiran maklumat tanpa sempadan melalui media sosial yang sukar dikawal.

“Terdapat juga kebimbangan yang semakin meningkat mengenai penyebaran maklumat berkaitan agama Islam yang mengelirukan, tidak tepat, salah tafsir dan ajaran yang menyimpang daripada prinsip Islam sebenar.

“Setiap umat Islam perlu bijak menilai mana yang betul mana yang salah,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian pada Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan 1446 Hijrah di sini hari ini.

Tambahnya, penyebaran maklumat agama yang tidak tepat melalui media sosial boleh membawa kepada kekeliruan, perpecahan dan amalan agama yang menyimpang.

Justeru baginda bertitah agar berhati-hati menuntut ilmu agama di media sosial.

“Jika orang dahulu belajar agama dengan membaca kitab dan mendengar kuliah di masjid, namun orang sekarang belajar agama secara dalam talian daripada ‘Ustazah Facebook dan Ustaz Tiktok,” jelasnya.

Sultan Ibrahim turut mengingatkan agar rakyat tidak menjadikan media sosial sebagai tempat berbalah, bertengkar, membuka aib orang lain dan menularkan perkara yang memalukan.

Jelasnya, semua itu akan menjadi punca perpecahan dan persengketaan.

Dalam aspek pembentukan sebuah negara, hijrah turut membawa sinar penyatuan ummah dan perpaduan masyarakat.

Lantaran itu, Yang di-Pertuan Agong mengingatkan rakyat untuk tidak bersikap keterlaluan atau ekstrim dalam isu berkaitan kaum dan agama sehingga boleh mencetus api perbalahan.

“Semua kaum ada budaya dan agam sendiri, kita mesti hidup dengan saling hormat-menghormati antara satu sama lain.

“Sesungguhnya semua umat Islam itu adalah bersaudara. Perbezaan bangsa, budaya dan asal usul tidak sepatutnya dijadikan alasan untuk kita berselisih faham, caci mencaci dan tuduh menuduh antara satu sama lain,” tegas baginda.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini