comscore
Tumpuan :
Nasional

Agong gemar santuni rakyat secara bersahaja – Pegawai Daerah Mersing

Menceritakan pengalamannya, Pegawai Daerah Mersing, Jamil Hasni Abdullah berkata pernah satu ketika dalam perjalanan pulang daripada menunaikan solat subuh di masjid, baginda bertitah untuk berhenti di warung bagi santapan sarapan pagi.

MERSING: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim gemar untuk menyantuni rakyat secara bersahaja dan mesra tanpa protokol yang ketat.

Pegawai Daerah Mersing, Jamil Hasni Abdullah, berkata kebiasaannya apabila berangkat ke daerah di timur laut Johor itu, Sultan Ibrahim bukan hanya bersemayam di Istana Flinstones, di sini sebaliknya turut meluangkan masa mendampingi rakyat.

Menceritakan pengalamannya, beliau berkata pernah satu ketika dalam perjalanan pulang daripada menunaikan solat subuh di masjid, baginda bertitah untuk berhenti di warung bagi santapan sarapan pagi.

“Kadang-kadang tu kedai mamak pun ada (Tuanku bersarapan) dan pada masa berkenaan, kita akan mengaturkan secara ad hoc serta menyediakan apa (juadah) yang terdapat di premis tersebut, tanpa protokol ketat.

“Selain itu, Tuanku juga pernah mencemar duli ke eskpo jualan dan mendekati rakyat dengan berbual-bual dan minum bersama-sama…kemesraan itu berlaku begitu sahaja, bukannya diatur…begitulah mudah dan mesranya Tuanku bersama rakyat,” katanya dalam temu bual eksklusif bersama Bernama di pejabatnya, di sini, baru-baru ini.

Jamil Hasni berkata Sultan Ibrahim juga raja yang prihatin dengan kebajikan rakyat dan baginda memanfaatkan waktu bertemu rakyat untuk mendengar sendiri aduan dan masalah mereka.

Dataran Merdeka dihiasi dengan banting gambar Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong sempena Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim pada 20 Julai ini. – FOTO: NSTP

“Apabila terdapat aduan ad hoc pada masa berkenaan (misalnya), saya akan merujuk jabatan terlibat dan mempersembahkan kepada Tuanku berkaitan peruntukan yang kita peroleh dan kekangan untuk kita menaik taraf kawasan tersebut, berdasarkan aduan diterima.

“Seterusnya, Tuanku akan menilai laporan tersebut dan memberikan pandangan baginda, manakala saya akan selaraskan semula di peringkat jabatan,” katanya.

Jamil Hasni berkata antara aktiviti kegemaran Sultan Ibrahim ketika berangkat ke daerah pelancongan yang kaya dengan keindahan alam itu ialah menyelam dan pada masa sama baginda turut memberi pandangan mengenai kawasan yang perlu dibersihkan dan dipulihara termasuk batu karang.

“Tuanku bertitah untuk menyemak kawasan yang bersesuaian untuk menyelam misalnya selepas kawasan A, pergi ke kawasan B dan beri tempoh tertentu kerana mungkin berlaku kerosakan…oleh itu, kita ada giliranuntuk pemuliharaan kawasan batu karangberkenaan,” katanya.

Beliau berkata di sebalik perwatakan baginda yang tegas, Jamil Hasni berkata beliau tidak menyangka bahawa Sultan Ibrahim mempunyai sisi lain iaitu gemar membuat jenaka.

“Saya pernah mengikut Tuanku ke Perth, Australia dalam pertemuan dengan pegawai-pegawai dan seperti biasa, ia berprotokol…namun apabila waktu santapan Tuanku amat mesra.

“Malah, Tuanku pernah membuat teka-teki dengan saya dan beberapa pegawai lain, serta menawarkan pemberian istimewa jika kami dapat menjawabnya…memang lucu keadaan ketika itu…itu antara momen indah yang tak boleh saya lupakan,” katanya.

Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-17 akan berlangsung di Istana Negara pada 20 Julai ini.

Terdahulu pada 31 Januari, Sultan Ibrahim melafaz dan menandatangani Surat Sumpah Jawatan sebagai Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-17. – BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini