Oleh: Fazli Ahmad
KUANTAN: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan meneruskan tradisi berbuka puasa di Padang Majlis Bandaraya Kuantan (MBK1) bersama rakyat antara kebiasaan Seri Paduka Baginda pada bulan Ramadan.
Al-Sultan Abdullah diiringi Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah tiba di Padang MBK1 kira-kira jam 6 petang.
Turut berangkat Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.
Sejurus tiba, Al-Sultan Abdullah berkenan melawat dan membeli juadah berbuka di Bazar Ramadan Mahkota Square terletak bersebelahan padang MBK1.
Turut mengiringi baginda Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Datuk Bandar Kuantan, Datuk Hamdan Hussin.
Keberangkatan Al-Sultan Abdullah mencuri perhatian orang ramai di bazar Ramadan ini dan mengambil kesempatan memohon perkenan bergambar bersama baginda.
Al-Sultan Abdullah turut meluangkan masa menyantuni orang ramai di Padang MBK1 sebelum waktu berbuka puasa.
Manakala Permaisuri Agong berkenaan mengagihkan bubur lambuk kepada orang ramai.